Banjir di Pahang ragut nyawa mangsa pertama

Banjir di Pahang ragut nyawa mangsa pertama

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

JERANTUT: Banjir yang melanda negeri ini sejak kelmarin, mengorbankan mangsa pertama iaitu seorang kakitangan Pejabat Hutan Daerah yang ditemui lemas awal pagi tadi.
Mangsa, Zulkarnain Hitam, 58, ditemui lemas kira-kira jam 2 pagi oleh pasukan penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Jerantut untuk tindakan lanjut.
Arwah sebelum itu dilaporkan hanyut dibawa arus deras ketika cuba menyeberangi laluan dinaiki air di Sungai Puas, dekat Kampung Gintong Tebing Tinggi, dekat sini, lewat malam tadi.
Difahamkan, mangsa ketika itu bersama tiga anaknya, namun dua daripada mereka yang berusia 13 dan 15 tahun, ditemui selamat.
Seorang lagi anak mangsa dikenali Ukai Iskandar yang berusia 23 tahun dan masih belajar di institusi pengajian tinggi (IPT), masih belum ditemui.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 1 pagi.
“Sejurus menerima laporan, operasi mencari dan menyelamat (SAR). Sepasukan pegawai dan anggota polis dengan kerjasama pihak bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat ) serta dibantu orang kampung, segera berusaha mengesan mangsa dan anaknya.
“Mayat Zulkarnain ditemui kira-kira jam 2 pagi tadi dan dihantar ke Hospital Jerantut untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Zulkarnain bersama tiga anaknya cuba merentasi laluan berkenaan untuk kembali ke kediaman lama mereka selepas kebanyakan laluan biasa digunakan terputus akibat banjir.
“Operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan Ukai Iskandar disambung jam 9 pagi tadi,” kata Mazlan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *