Anak kucing mangsa banjir ikut berpindah

Anak kucing mangsa banjir ikut berpindah

Anak kucing mangsa banjir ikut berpindah

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

PEKAN: Seekor anak kucing berusia sebulan antara yang dipindahkan dalam operasi memindahkan mangsa banjir oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) daerah Pekan di beberapa kampung di daerah ini.

  Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan, Penolong Penguasa Bomba Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, operasi menyelamat di daerah ini bermula malam kelmarin berikutan paras air yang semakin meningkat selepas hujan lebat berterusan.

  Menurutnya, seramai 10 anggota bomba terbabit dalam operasi terbabit menggunakan bot, lori dan kenderaan pacuan empat roda. Antara kawasan penempatan yang ditengelami banjir ialah Kampung Cenderawasih,  Kampung Sungai Miang dan Kampung Kalong.

  Katanya, seramai 193 mangsa banjir di daerah ini ditempatkan di sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan setiap PPS kini menempatkan antara empat hingga 10 keluarga.

  “Kelmarin kita juga turut memindahkan wanita warga emas yang menghidap penyakit angin ahmar di Kampung Kalong. Wanita terbabit terpaksa diangkat bersama kerusi rodanya ke atas bot penyelamat.

  “Di kampung berkenaan kita juga memindahkan seorang wanita baru lepas bersalin sebelum dirujuk ke Hospital Pekan untuk pemantauan doktor,” katanya.

  Beliau berkata, jumlah mangsa banjir di daerah ini dijangka bertambah berikutan air Sungai Pahang yang mula mengalir turun dari hulu menyebabkan kampung yang terletak berhampuran sungai terdedah kejadian banjir.

  Wan Samsul Effendi berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Temai yang dijadikan PPS juga kini ditengelami banjir. Ia menempatkan 18 mangsa membabitkan lapan keluarga terdiri daripada penduduk setempat.

  Katanya, pihaknya sentiasa bersedia melakukan operasi menyelamat mangsa banjir di daerah ini yang turut dibantu BBP Peramu, Nenasi dan Chini yang meletakkan semua logistik dalam keadaan sedia.

  “Saya menasihatkan mereka yang tinggal berhampiran Sungai Pahang supaya bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

  “Air Sungai Pahang di Pekan kini berada pada paras berjaga dan tidak mustahil akan naik berikutan banjir besar berlaku di Lipis dan Raub,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *