Gadis 19 tahun hilang Isnin lalu ditemukan lemas

Gadis 19 tahun hilang Isnin lalu ditemukan lemas

Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

LIPIS: Remaja perempuan dilaporkan hilang selepas bot karam dekat Sungai Koyan di sini Isnin lalu, ditemui lemas pagi tadi.
Mayat Nur Zakirah Ahmad Hussin, 19, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berhampiran jambatan keretapi Bukit Betong kira-kira jam 11 pagi tadi iaitu 11 kilometer (km) dari tempat dia dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata dengan penemuan mangsa terakhir bot karam itu, misi SAR ditamatkan sepenuhnya jam 12.45 tengah hari tadi.
“Mayat terakhir mangsa bot karam berhampiran jambatan gantung Kampung Ulu Jelai itu sudah dihantar ke Hospital Lipis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Isnin lalu, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian bot karam dinaiki empat sekeluarga berhampiran jambatan gantung Kampung Ulu Jelai, kira-kira jam 1.30 petang.
Susulan itu, operasi SAR membabitkan pegawai dan anggota polis; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dibantu penduduk kampung, dilancarkan.
Dua daripada mangsa, Ahmad Hussin Mad Aris, 52, dan seorang anaknya, Nur Aina, 23, sempat menyelamatkan diri, manakala isterinya, Rozi Omar, 52, dan seorang lagi anak pasangan itu, Nur Zakirah, 19, gagal dikesan selepas dipercayai dibawa arus deras.
Mayat Rozi kemudiannya ditemui kira-kira jam 9.45 pagi Selasa lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *