Jangan percaya berita tular TNB lepas air di dua empangan

Jangan percaya berita tular TNB lepas air di dua empangan

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) berharap orang ramai tidak terus berkongsi hantaran media sosial pihak tidak bertanggungjawab mendakwa berlaku pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar, Cameron Highlands dan Empangan Susu, Ulu Jelai hingga menyebabkan kejadian banjir besar.

  Pengurus Besar TNB Negeri Pahang, Datuk Baderul Sham Saad berkata, paras air di dua  empangan berkenaan berada di aras selamat dan tiada keperluan pelepasan air dilakukan pada masa ini. 

  Katanya, TNB sentiasa memantau keadaan semasa serta paras air di kedua-dua empangan itu seterusnya 

akan memaklumkan kepada pihak berkuasa sebarang tindakan yang akan diambil bagi keselamatan penduduk setempat. 

  “Saya nasihatkan kepada pengguna supaya sentiasa merujuk kepada pihak TNB bagi memastikan kesahihan sebarang berita yang tular di medial sosial.

  “Orang ramai juga dinasihatkan tidak berkongsi hantaran media sosial yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa pelepasan air di dua empangan itu menyebabkan banjir dibeberapa daerah di negeri ini,” katanya.

  Beliau menegaskan, paras air di empangan hidroelektrik TNB di Cameron Highlands, berada di bawah paras limpahan dan tiada pelepasan air berlaku seperti yang didakwa dalam hantaran media sosial itu.

  Baderul Sham menambah, orang ramai dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan hantaran di media sosial sebelum membuat perkongsian bagi mengelakkan kegusaran masyarakat.

  “Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB CareLine,” katanya.

  Sebelum ini tular di media sosial mendakwa berlaku pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar, Cameron Highlands dan Empangan Susu, Ulu Jelai sehingga menyebabkan kejadian banjir besar di beberapa daerah.

  Sementara itu, TNB Pahang 

menutup sementara bekalan di 82 pencawang elektrik di negeri ini susulan banjir besar yang berlaku di beberapa daerah.

  Temerloh mencatat jumlah terbanyak pencawang ditutup membabitkan sebanyak 38 diikuti Lipis (23), Jerantut (19) dan Jengka/Maran (2).

  Berikutan itu seramai 5,000 pengguna di negeri ini terbabit dengan gangguan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *