APM tangkap 14 ular sesat musim banjir

APM tangkap 14 ular sesat musim banjir

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuantan menangkap 14 ekor ular pelbagai spesies dalam tempoh seminggu musim tengkujuh kali ini.

  Terbaharu seekor ular sawa batik seberat 100 kilogram ditangkap di Taman Pelindung Perdana, di sini, selepas penduduk melihat reptilia itu melintas jalan berikutan kawasan di situ dinaiki air.

  Pegawai APM Daerah Kuantan, Kapten (PA) Zubaidah Said berkata, setiap kali musim hujan jumlah tangkap ular pelbagai spesies dan saiz akan bertambah sehingga dua kali ganda berbanding musim panas.

  Menurutnya, kawasan habitat ular ditengelami air antara punca utama reptilia berkenaan keluar selain untuk mencari makan selain disebabkan pembangunan membabitkan aktiviti pembersihan.

  Katanya, dalam tempoh seminggu APM Daerah Kuantan berjaya menangkap 14 ekor ular pelbagai spesies seperti ular sawa, ular tedung selar dan ular senduk yang berada dalam perumahan termasuk kawasan kediaman.

  “Kes terbaharu kelmarin apabila kita memindahkan seekor ular sawa batik seberat 100 kilogram sepanjang enam meter di Taman Perlindung Perdana, di sini. Selepas menerima aduan penduduk lima anggota segera digerakkan ke kejadian untuk mengambil tindakan.

  “Penduduk mendakwa mereka melihat reptilia berkenaan cuba melintas jalan selepas kawasan terbabit dinaiki air lalu mereka segera bertindak menangkap ular terbabit sebelum diserahkan kepada APM,” katanya.

  Beliau berkata, ular sawa batik  yang terbesar pernah ditangkap pihaknya itu kini disimpan sementara di Pusat Kawalan Operasi APM Kuantan sebelum dilepaskan ke habitatnya.

  Zubaidah menambah, sepanjang tahun lalu pihaknya berjaya menangkap sebanyak 1,553 ekor pelbagai spesies ular di daerah ini di mana September mencatat jumlah tertinggi tangkapan sebanyak 159 diikuti Oktober (146) serta masing-masing sebanyak 143 pada Ogos dan November.

  Katanya, ular berkenaan ditangkap di luar dan dalam rumah yang bersembunyi di tempat sejuk seperti dalam bilik tidur, atas siling dan dalam dapur.

  “Saya menasihatkan kepada masyarakat supaya segera menghubungi APM sekiranya ular menceroboh rumah mereka dan jangan bertindak sendirian bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya selaku Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kuantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *