Geng tipu baiki rumah RM100 berkeliaran selepas banjir

Geng tipu baiki rumah RM100 berkeliaran selepas banjir

Geng tipu baiki rumah RM100 berkeliaran selepas banjir

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

TEMERLOH: Hanya perlu bayar antara RM100 hingga RM200 sahaja untuk membaiki rumah yang rosak teruk akibat banjir.

  Itu ‘kelentong’ pihak tertentu yang cuba menipu mangsa banjir dengan menawarkan bantuan tidak wujud. 

  Helah itu dikesan polis Pahang selepas menerima laporan mengenai kegiatan berkenaan yang berlaku sejak banjir melanda negeri ini, minggu lalu.

  Ketika mengesahkan perkara berkenaan, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, sungguhpun kes jenayah menurun sejak banjir melanda minggu lalu, polis ada menerima laporan berhubung kegiatan sindiket penipuan yang aktif menawarkan bantuan kepada mangsa banjir. 

  “Kumpulan sindiket ini menawarkan pakej pembaikan rumah yang rosak teruk akibat banjir dan mangsa banjir yang ingin mendapatkan khidmat kumpulan ini perlu membayar antara RM100 hingga RM200. 

  “Kita kesal dengan penipuan seperti ini kerana tindakan kumpulan atau sindiket terbabit menggambarkan mereka tidak bersimpati dengan kesusahan dan kepayahan dialami mangsa banjir,” katanya.

  Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi lawatan kerja Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh, di sini, hari ini. 

  Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

  Sehubungan itu, Abd Jalil berkata, pihak polis sedang menyiasat perkara itu dan tindakan tegas akan diambil terhadap kumpulan penipu terbabit.

  Dalam perkembangan berasingan, Abd Jalil berkata, sebanyak 96 keluarga pegawai dan anggota polis di negeri ini turut menjadi mangsa banjir membabitkan kira-kira 400 ahli keluarga. 

  “Pihak IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Pahang sudah memberikan bantuan awal kepada semua keluarga terbabit dan bantuan susulan akan disalurkan kepada mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *