Kerajaan Pahang Peruntukkan RM11 juta Untuk Mangsa Banjir Tahun Ini

Kerajaan Pahang Peruntukkan RM11 juta Untuk Mangsa Banjir Tahun Ini

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan Pahang menambah peruntukan sebanyak RM8 juta lagi menjadikan jumlah keseluruhan RM11 juta bagi memenuhi keperluan harian mangsa banjir di negeri ini.

  Peruntukan tambahan yang diluluskan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang Jumaat lalu itu akan digunakan terutama bagi mangsa banjir yang ditempatkan di semua pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan sebanyak RM11 juta itu ialah kedua tertinggi selepas musibah banjir yang melanda negeri ini pada 2014/2015 yang berjumlah RM57 juta dan membabitkan 100,000 mangsa.

  “Dengan peruntukan yang disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini, kita harap kebajikan mangsa-mangsa banjir di seluruh Pahang terus terpelihara,” katanya.

  Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

  Difahamkan sehingga kini, JKM sendiri sudah membelanjakan RM3.4 juta yang sebahagian besarnya (RM2.9 juta) digunakan untuk pembelian barangan keperluan harian mangsa-mangsa banjir di PPS.

  Selain itu, sebanyak RM434,000 dibelanjakan untuk keperluan harian mangsa-mangsa banjir di kawasan terputus hubungan (KTH), manakala RM19,748 diagihkan ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) dan RM16,900 ke pusat kawalan operasi banjir (PKOB). 

  Untuk rekod, peruntukan disediakan kerajaan negeri pada  2016 hanya berjumlah RM16,493 seterusnya masing-masing RM1.9 juta pada 2017 dan 2018 serta cuma RM46,200 (2019).

  “Nilai peruntukan yang berbeza ini adalah berdasarkan keperluan dan tahap seriusnya bencana banjir yang dialami pada tahun-tahun terbabit,” kata Wan Rosdy. 

  Mengenai pengoperasian PPS, beliau berkata, JKM negeri memaklumkan setakat semalam, sebanyak 280 PPS masih beroperasi untuk menempatkan lebih 26,000 mangsa daripada 7,256 keluarga selepas sebelum itu menutup 145 daripada 425 PPS.

  “Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan semua mangsa banjir, petugas dan sukarelawan sama ada di PPS mahupun di lapangan, supaya sentiasa mementingkan keselamatan dan kesihatan diri terutamanya dalam mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membendung penularan pandemik COVID-19. 

  “Sama-samalah kita menghadapi dugaan mencabar ini dan bersama-samalah ‘kita jaga kita’. Dengan keredaan Allah, kita akan berjaya, Insya-Allah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *