Pembersihan bandar Maran makan masa dua minggu

Pembersihan bandar Maran makan masa dua minggu

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Pic/Video Mohd Imran Izzad 

MARAN: Tempoh dua minggu diperlukan Majlis Daerah Maran (MDM) untuk membersih kotoran dan selut di kawasan bandar Maran yang ditengelami banjir besar minggu lalu.

  Setiausaha MDM, Wan Norizan Wan Badaruzzaman

berkata, operasi membersih bermula kelmarin membabitkan lebih 100 kakitangan daripada beberapa unit yang bekerja secara gotong-royong.

  Menurutnya, turut membantu aktiviti membersih ialah kakitangan Syarikat Alam Flora, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp), Pasukan Bomba Sukarela Sri Jaya dan East Coast Rail Link (ECRL).

  Katanya, aktiviti membersih kini dilakukan secara berperingkat dan tumpuan utama kini membabitkan jalan dan premis dalam kawasan bandar Maran, diikuti taman perumahan yang turut terjejas teruk.

  “Kejadian banjir minggu lalu dianggap luar biasa apabila turut membawa bersama pelbagai jenis sampah dan lumpur tebal, tumpuan utama operasi turut membabitkan aktiviti memindahkan lumpur menggunakan lori.

  “Bagi melancarkan lagi kerja membersih beberapa jentera berat terpaksa digunakan,” katanya.

  Wan.Norizan berkata, bagi pihak MDM  beliau memohon maaf pada penduduk beberapa kawasan perumahan kerana tidak dapat membantu untuk membersihkan kawasan penempatan mereka kerana pihaknya kini lebih menumpukan tugas di kawasan bandar.

  Beliau menambah, pihaknya berjanji selepas selesai membersih kawasan bandar, kakitangan MDM akan membantu masyarakat setempat yang terkesan dengan kejadian banjir minggu lalu.

  “Bagi pihak MDM saya mempelawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan individu untuk membantu membersihkan kekotoran termasuk selut yang banyak terutama di kawasan bandar Maran yang ditenggelami air sedalam satu hingga dua meter sehingga mengubah persekitaran di sini.

  “Banyak kerosakan berlaku terutama membabitkan beberapa kemudahan termasuk pasu bunga yang pecah serta dihanyutkan arus deras,” katanya.

  Tinjauan di bandar Maran mendapati kerja membersih sedang giat dilakukan terutama aktiviti menolak selut dan kotoran lain menggunakan jentera.

  Perkhidmatan kontraktor pembersihan turut digunakan oleh syarikat swasta yang beroperasi di daerah ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *