PM arah agensi bantu uruskan mangsa selepas banjir

PM arah agensi bantu uruskan mangsa selepas banjir

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

MARAN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu agensi terbabit dengan pengurusan mangsa banjir supaya terus memberi bantuan makanan kepada mangsa banjir walaupun sesudah mereka kembali ke rumah masing-masing sehingga tempoh tertentu.

  Beliau berkata, penekanan juga perlu diberikan dalam aspek pengurusan mangsa selepas musim banjir terutama berkaitan bantuan kepada mangsa yang mengalami kerosakan rumah.

  “Pihak berkuasa juga perlu memberi perhatian untuk memperbaiki semula infrastruktur awam yang rosak,” katanya.

  Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah (SM) Tengku Ampuan Afzan, Chenor di Maran.

  Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

  Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, sempat melawat dan beramah-mesra menenangkan beberapa mangsa banjir yang kelihatan bersedih di PPS itu.

  Seramai 173 mangsa daripada 53 keluarga kini ditempakan di PPS itu selepaas terjejas akibat musibah banjir yang melanda daerah ini yang mencatatkan bilangan keseluruhan 3,088 mangsa daripada 832 keluarga di 36 PPS.

  Perdana Menteri sebelum itu melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh di Temerloh.

  Beliau yang tiba dengan helikopter kira-kira jam 10 pagi, sempat meluangkan masa kira-kira 45 minit melawat mangsa di PPS berkenaan.   

  Selepas mendengar taklimat mengenai banjir di Temerloh dan menyampaikan sumbangan kit makanan kepada mangsa banjir, beliau kemudian membuat tinjauan bagi melihat kemudahan disediakan kepada mangsa banjir di PPS itu yang menempatkan 871 mangsa daripada 216 keluarga.

  Setakat jam 2 petang ini jumlah mangsa banjir di Temerloh mencecah 11,660 orang daripada 3,157 keluarga dan ditempatkan di 83 PPS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *