Risau ‘Michael’ dan kawan-kawan tak makan

Risau ‘Michael’ dan kawan-kawan tak makan

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

PEKAN: “Dah beberapa hari tidur saya tak lena kerana risau memikirkan haiwan ternakan dan peliharaan tak makan atau banjir makin teruk,” demikian luahan Abdul Karim Osman, 62, dari Kampung Permatang Redan, Cherok Paloh dekat sini.

  Abdul Karim menternak 14 ekor kambing, lembu (dua ekor), itik serati (seekor) ayam (60 ekor) serta ayam mutiara (lima ekor) yang semuanya ditempatkan di kawasan rumah.

  “Bagaimanapun ayam saya banyak yang hilang selepas banjir melanda, entah ke mana perginya. Saya juga ada bela (pelihara) 15 ekor kucing dan seekor anjing dinamakan Michael yang bukan sahaja ‘berkawan’ dengan haiwan lain, malah boleh diharap menjaga rumah,” katanya ketika ditemui Fikrah Pahang di sini, hari ini.

  Wartawan dan jurugambar agak terkejut apabila tiba di kediaman Abdul Karim apabila ‘disambut’ kira-kira 20 ekor ayam dan ayam mutiara yang jinak meminta makanan sebaik keluar dari kereta.

  “Biasanya saya beri makan semua binatang yang  ada sebanyak tiga kali sehari, tapi sejak terpaksa tinggalkan rumah buat sementara, saya cuma sempat beri (makan) sekali sehari sahaja kerana perlu menjaga SOP (prosedur operasi standard). Itupun bila keluar dari PPS perlu ada pegawai atau anggota petugas banjir ikut sekali.

  “Ayam ini semua jadi berani dan jinak mungkin sebab lapar agaknya. Mujur juga air cuma naik separas paha sahaja,” katanya.

  Menurutnya, dia dan isteri, Atiah Mat Lazim, 61, selain dua anak perempuan, Nur Azila, 30, serta Nur Adila, 26, terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Cherok Paloh, yang terletak kira-kira satu kilometer (km) dari rumahnya.

  ” Inilah banjir terburuk sejak 2014/15. Air mula naik jam 6 petang Jumaat lalu dan isteri serta anak pergi dulu bermalam di PPS… saya menyusul keesokan harinya.

  “Sejak hari pertama bermalam di PPS saya risaukan ayam dan kambing di kandang belakang rumah, juga haiwan lain. Bimbang kalau-kalau air naik lebih tinggi waktu malam,” tambahnya.

  Sementara itu, tinjauan Fikrah Pahang di Cherok Paloh ini hari ini mendapati Jalan Cherok Paloh-Ubai ditenggelami air dan tidak boleh dilalui kenderaan, manakala kira-kira 10 kediaman penduduk ditenggelami air sedalam hampir satu meter.

  Sehingga jam 2 petang tadi, seramai 33 orang daripada 11 keluarga ditempatkan di PPS SK Cherok Paloh. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *