Agong perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat untuk membendung pandemik COVID-19.

Agong perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat untuk membendung pandemik COVID-19.

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini atau sehingga tarikh lebih awal seandainya penularan kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan secara berkesan.

  Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan Persekutuan membabitkan pembentukan satu jawatankuasa bebas yang akan dianggotai Ahli-ahli Parlimen kerajaan Perikatan Nasional dan pembangkang serta pakar kesihatan selain mereka yang berkaitan.

  “Perlu ditegaskan bahawa Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap keselamatan diri rakyat jelata, khususnya ketika ini rakyat di beberapa negeri masih berdepan bencana banjir.

  “Baginda menzahirkan rasa kegusaran terhadap kesan bencana banjir dan kenaikan mendadak angka jangkitan COVID-19 di negara ini yang sekiranya tidak dibendung, boleh memudaratkan kesihatan rakyat serta kesejahteraan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  Datuk Indera Ahmad Fadil turut memaklumkan, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara, jam 5.30 petang semalam.

  Pada sesi menghadap yang berlangsung selama 45 minit itu, baginda memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik COVID-19.

  “Perdana Menteri menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berkenaan cadangan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif COVID-19 harian yang kini mencecah empat angka secara berterusan sejak Disember lalu.

  “Selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Haji Affendi Buang; Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador; Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh, maka Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

  “Perlu dimaklumkan bahawa perkenan ini juga mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu selain mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara.

  “Ia juga berdasarkan statistik semasa COVID-19, khususnya kekangan kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang dipersembahkan ketika sesi taklimat itu,” katanya.

  Beliau berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat jitu dan kerjasama rakyat seperti dipamerkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, kita mampu sekali lagi membendung penularan wabak COVID-19 dengan berkesan.

COVID-19

  “Al-Sultan Abdullah mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada wira dan wirawati petugas barisan hadapan yang bersabung nyawa serta bertungkus-lumus tanpa mengira masa dan penat lelah demi memikul tanggungjawab memerangi COVID-19.

  “Baginda turut menzahirkan harapan supaya vaksin yang bakal diterima kelak akan melandaikan keluk pandemik, sekali gus memutuskan transmisi COVID-19 di negara ini.

  “Al-Sultan Abdullah juga mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan Malaysia sentiasa dilindungi daripada segala bentuk ancaman dan pandemik ini dapat dibendung dengan berkesan serta diakhiri segera selain turut mengajak seluruh rakyat mendoakan bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *