Bantu bersihkan sekolah, masjid dan kediaman mangsa banjir di DUN Kerdau

Bantu bersihkan sekolah, masjid dan kediaman mangsa banjir di DUN Kerdau

:

Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar/video Mustaffa Kamal

TEMERLOH: Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan bekerjasama untuk meringankan beban mangsa banjir di kawasan itu terutama dalam kalangan mereka yang kurang berkeupayaan untuk membersihkan kediaman mereka dalam tempoh terdekat ini.
ADUN Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pihaknya turut meminta JBPM membantu membersihkan sekolah, masjid dan balai raya yang terjejas akibat banjir yang melanda sejak seminggu lalu.
Katanya, untuk bantuan pascabanjir itu, pihaknya juga memberi sumbangan bantal dan tilam kepada kira-kira 2,000 mangsa banjir di kawasan berkenaan.
“Saya sudah meminta JBPM membantu membersihkan sekolah, masjid, balai raya dan rumah OKU (orang kelainan upaya) dan warga emas.
“Untuk mengsa banjir yang sihat, bukan tak nak bantu, kita akan bantu juga membersihkan rumah mereka tetapi kita dahulukan rumah orang kurang keupayaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan menyerahkan bantuan keperluan kepada wartawan veteran, Sharifuddin Mohamad, 69, di Kampung Bukit Ketumbit di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, beliau amat berterima kasih kepada banyak pihak yang membantu kira-kira 2,000 masyarakat Kerdau yang terjejas akibat banjir selain seluruh mangsa banjir di Pahang.
“Bermula daripada pihak istana, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, barisan EXCO, ketua-ketua bahagian UMNO, ketua Wanita, Pemuda dan Puteri serta polis, bomba selain NGO (badan bukan kerajaan) yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir tahun ini.
“Di Kerdau ini terdapat kira-kira 10,000 penduduk dan daripada jumlah itu kira-kira 2,000 orang terjejas akibat banjir dan walaupun mungkin terdapat kekurangan dari segi bantuan kerana semuanya dibuat secara tergesa-gesa, pejabat DUN akan cuba bantu sebaik mungkin dengan menyumbang bantal dan tilam untuk meringankan beban mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan mangsa banjir supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika membersihkan kediaman masing-masing.
“Kita tak mahu ada yang ditimpa kecelakaan contohnya terkena renjatan elektrik atau dipatuk ular dan penting untuk jaga SOP ketika penularan COVID-19 sekarang ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *