Kerajaan bukan suka-suka isytihar darurat kesihatan

Kerajaan bukan suka-suka isytihar darurat kesihatan

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar/video Mustaffa Kamal

TEMERLOH: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan sengaja ingin mengisytiharkan darurat kesihatan, sebaliknya ia perlu dilaksanakan bagi mengelakkan penularan COVID-19 menjadi lebih parah dan merebak ke kawasan selamat.
Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Dato’ Sri Ismail Mohamed Said berkata, orang ramai juga tidak perlu risau kerana darurat kesihatan yang dilaksanakan ini tidak membabitkan pengambilalihan pemerintahan oleh pasukan tentera.
“Kita kena faham, bukan sengaja kerajaan nak isytiharkan darurat, tapi memandangkan setiap hari ada peningkatan kes (COVID-19), jadi kerana nak putuskan rantaian pandemik ini, kerajaan terpaksa buat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan akhirnya darurat kesihatan supaya (wabak) tidak merebak ke kawasan zon hijau.
“Kita tengok di Pahang dulu tak ada (jangkitan) kes dalam tempoh lama tetapi kerana saudara-mara, anak beranak menghadiri kenduri, mereka balik dan akhirnya merebak pula ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat dan menyampaikan sumbangan serta bantuan kepada mangsa banjir yang juga wartawan veteran, Sharifuddin Mohamad, 69, di Kampung Bukit Ketumbit di sini, hari ini.
Turut menyampaikan bantuan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad manakala Presiden Kelab Wartawan Pahang, Dato’ Nik Naizi Husin dan dua wakil pengurusan Fikrah Pahang, Kamal Ariffin Ismail serta Zulkepli Osman selain lapan sukarelawan FELCRA membantu membersihkan kediaman Sharifuddin.
Dalam pada itu, Ismail menasihatkan mangsa banjir tetap mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketika melakukan kerja-kerja membersihkan kediaman masing-masing .
“Dalam keadaan kita masih dibelenggu pandemik COVID-19 ini, kita mesti amalkan SOP ditetapkan iaitu memakai sarung tangan, pakai pelitup muka dan pastikan apa sahaja yang telah diwajibkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama arahan semasa pusat kawalan operasi banjir yang dipengerusikan pegawai daerah mesti dipatuhi,” katanya.
Sementara itu, Nik Naizi berkata, program membersihkan rumah Sharifuddin dianjurkan secara bersama antara Kelab Media Pahang dan akhbar Fikrah Pahang dengan kerjasama sukarelawan FELCRA, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *