Kerajaan UAE titip bantuan kepada 7,000 keluarga mangsa banjir di Pahang

Kerajaan UAE titip bantuan kepada 7,000 keluarga mangsa banjir di Pahang

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Hubungan baik Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan kerajaan Emiriah Arab Besatu (UAE) selain keakraban baginda selama lebih 40 tahun dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan menjadi antara faktor utama UAE segera menghantar bantuan untuk dinikmati 7,000 keluarga mangsa banjir di negeri ini.

  Bantuan disampaikan menerusi delegasi Persatuan Bulan Sabit Merah UAE yang diketuai oleh Mohammad Aljunaibi.   

  Aljunaibi berkata, bantuan terbabit disampaikan secara berperingkat membabitkan pengagihan bantuan makanan, tilam dan selimut kepada 7,000 keluarga terbabit.

  “Kami akan melawat ke setiap daerah yang terjejas akibat banjir di Pahang dengan membawa pelbagai bantuan antaranya barangan makanan, tilam dan selimut.

  “Bantuan seterusnya akan disumbangkan berdasarkan keperluan yang mana kami akan kenal pasti ketika melakukan lawatan peringkat pertama ini,” katanya.

  Aljunaibi berkata demikian kepada media selepas beliau bersama enam delegasi itu diraikan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis makan malam di Hotel Zenith, di sini, malam tadi.

  Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatakuasa Perpaduan, Kebajikan dan Wanita Negeri, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Abd Jalil Hassan.

  Ditanya mengapa UAE memilih untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini, Aljunaibi berkata, ia susulan perbincangan antara Al-Sultan Abdullah dengan kerajaan negara teluk itu, baru-baru ini.

  Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang amat berbesar hati dan mengalu-alukan bantuan berkenaan yang dapat meringankan beban sebahagian daripada puluhan ribu mangsa banjir di negeri ini. 

  “Kita sangat mengalu-alukan bantuan yang ingin diberikan ini, lebih-lebih lagi ia situasi sangat menyayat hati dengan membabitkan banyak kerugian besar.

  “Oleh itu, kedatangan enam wakil UAE membawa bantuan sangat dihargai dan terima kasih serta saya berharap hubungan baik di antara Kerajaan Pahang dengan UAE akan berterusan dan berpanjangan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *