Pekebun sayur terjejas banjir layak terima bantuan ihsan

Pekebun sayur terjejas banjir layak terima bantuan ihsan

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Pekebun sayur yang kebun mereka musnah  ditenggelami banjir layak menerima bantuan bencana yang disediakan 

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

  Pegawai Pertanian Daerah Kuantan, Amir Dzulfadli Samad berkata, wang ihsan berkenaan antara usaha kerajaan membantu meringankan beban akibat kerugian yang dialami golongan terbabit.

  Katanya, bantuan yang disediakan kerajaan itu bukan berupa ganti rugi disebabkan kemusnahan kebun mereka 

sebaliknya sebagai saguhati tanda prihatin kementerian kepada golongan pekebun.

  Menurutnya, di daerah ini terdapat seramai 168 pekebun sayur di bawah seliaan Jabatan Pertanian, secara kelompok dan individu yang dikenal pasti kebun mereka ditengelami banjir minggu lalu. Mereka mengusahakan kebun berskala kecil dan sederhana.

  “Seramai 19 pekebun mengusahakan projek tanaman pelbagai sayuran berskala sederhana di tiga Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di daerah ini, TKPM Inderapura, TKPM Pulau Manis dan TKPM Permatang Lawang.

  “Pekebun perlu membuat permohonan untuk mendapat bantuan melalui pejabat pertanian daerah yang akan dimajukan kepada kementerian.

 “Pekebun layak menerima wang ihsan sehingga RM400 mengikut saiz luas kebun yang diusahakan,” katanya selepas meninjau keadaan banjir yang berlaku di kawasan TKPM Inderapura, di sini.

  Beliau berkata, pekebun yang kebun mereka ditenggelami banjir dinasihatkan supaya segera memungut hasil tanaman bagi mengelak terus menanggung kerugian  walaupun harga ditawarkan sedikit rendah berbanding sebelum ini.

  Bagaimanapun, Amir Dzulfadli berkata kebanyakan pekebun di TKPM di daerah ini mengusahakan tanaman sayur secara fertigasi atau digantung,  hanya sebahagian kecil sahaja yang menanam di atas tanah.

  “Saya difahamkan seorang pekebun di TKPM Inderapura mengalami kerugian rugi lebih RM4,000 apabila sebanyak 2,500 polibeg tanaman cili besar berumur sebulan musnah ditenggelami banjir,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *