Syarat-syarat pengoperasian dan aktiviti dibenarkan/tidak dibenarkan ketika PKPB di Pahang

Syarat-syarat pengoperasian dan aktiviti dibenarkan/tidak dibenarkan ketika PKPB di Pahang

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUANTAN: Hanya upacara akad nikah di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) dengan kehadiran lapan orang sahaja boleh diadakan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

  Bagi bukan Islam pula, upacara perkahwinan hendaklah diadakan sama ada di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), rumah ibadat atau persatuan agama bukan Islam, juga dengan kehadiran maksimum lapan orang.

  Itu antara syarat pengoperasian dibenarkan di Pahang sepanjang PKPB dilaksanakan di negeri ini.

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat susulan mesyuarat di antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN), hari ini.

  Beliau berkata, sehubungan itu, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan syarat pengoperasian dan aktiviti yang dibenarkan seperti ditetapkan berkuat kuasa serta-merta.

  “Bagi syarat-syarat am operasi premis, semua premis dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam.

  “Majikan hendaklah memastikan pekerja bebas daripada simptom COVID-19 sebelum dibenarkan bekerja.

  “Saringan suhu badan pekerja hendaklah dibuat setiap hari serta direkodkan selain menjalankan saringan suhu badan dan merekodkan data termasuk nama, alamat dan nombor telefon pelanggan, pelawat serta semua yang berurusan di premis.

  “Premis-premis juga hendaklah dinyah kuman setiap hari manakala pemilik premis atau perniagaan perlu menyediakan ‘hand sanitizer’ untuk semua pekerja dan pelanggan. 

  “Selain itu, pekerja dan pelanggan hendaklah memakai pelitup muka sepanjang masa ketika berada di premis. Bagi premis mempunyai 10 pekerja ke atas hendaklah menubuhkan jawatankuasa tindak balas kecemasan (Emergency Response Team),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

  Menurutnya, pemilik premis diwajibkan mendaftar dan memuat turun aplikasi MySejahtera untuk digunakan pelanggan yang memasuki premis.

  Bagi syarat-syarat khusus operasi premis pula, Wan Rosdy berkata, peniaga perlu meletakkan meja dalam jarak dua meter (m), manakala kerusi pelanggan pula 1m.

  “Dibenarkan untuk ‘dine-in’ (makan dalam kedai) dengan kapasiti dua orang satu meja, manakala bagi seisi rumah dibenarkan duduk semeja berdasarkan kapasiti kerusi.

  “Waktu operasi harus bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam, tertakluk pada syarat lesen perniagaan,” katanya.

  Seterusnya, beliau berkata, untuk kilang yang dibenarkan beroperasi selepas 11 Januari, hanya 30 peratus pekerja dibenarkan berada di pejabat bagi kumpulan pengurusan dan dibenarkan beroperasi sebagaimana kelulusan lesen. 

  Bagi pekerja kategori lain pula, katanya, adalah terhad kepada mereka yang perlu hadir secara fizikal ke tempat kerja dan dibenarkan beroperasi mengikut kelulusan lesen.

  “Bagi ‘food court’ (termasuk dalam pusat beli-belah) SOP di pusat beli-belah sama dengan restoran. Untuk ‘food truck’ (kenderaan saji) pula hanya dibenarkan secara bungkus sahaja buat masa ini.

  “Untuk kawasan rehat dan rawat (R&R) Lebuh raya Karak-KL, LPT (Lebuh raya Pantai Timur) 1 dan LPT 2, operasi R&R dibenarkan dengan syarat satu meja hanya dibenarkan untuk dua pelanggan.

  “Untuk penggunaan surau pengunjung perlu menggunakan sejadah dan telekung sendiri serta memakai pelitup muka ketika bersolat. Pengurusan lebuh raya hendaklah meletakkan pengawal bagi menguatkuasakan arahan ini.

  “Hand sanitizer disediakan di semua kaunter restoran, gerai dan surau. Sabun pencuci tangan hendaklah disediakan di semua sinki, tempat wuduk dan tandas,” katanya,

  Bagi stesen minyak, Menteri Besar berkata, waktu operasi pengepaman bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam kecuali pengoperasian stesen minyak di lebuh raya yang dibenarkan beroperasi 24 jam (tertakluk pada syarat lesen perniagaan). 

  “Pemiik stesen minyak hendaklah menyediakan sarung tangan atau ‘hand sanitizer’ di setiap pintu masuk kedai se

rbaneka stesen terbabit, manakala ‘nozzle’ (muncung pam) hendaklah dinyah kuman setiap jam.

  “Pasar awam, pasar harian, pasar borong, pasar tani, pasar malam dan ‘car boot sale’, dibenarkan beroperasi mengikut lesen atau permit sehingga jam 12 tengah malam. 

  “Pasar atau premis hendaklah dinyah cemar kuman setiap hari selepas waktu operasi dan anggota RELA ditugaskan membuat kawalan ketika pasar beroperasi,” ujarnya.

  Tambahnya, pelanggan juga tidak dibenarkan berada di gerai melebihi lima minit untuk satu pembelian barang atau tidak melebihi 20 minit untuk lebih 10 barang dengan hanya seorang pelanggan dibenarkan berada di setiap gerai pada satu-satu masa.

  “Bagi premis dobi layan diri, waktu operasi adalah mulai jam 7 pagi hingga 12 tengah malam. Setiap premis dobi perlu menyediakan ‘hand sanitizer’ manakala mesin basuh dan mesin pengering perlu dinyah kuman setiap kali digunakan.

  “Pemilik juga perlu menandakan tempat dibenarkan pelanggan berada pada sepanjang masa di dalam premis dengan jarak sekurang-kurangnya 1m antara pelanggan.

  “Jumlah pelanggan dalam ruang menunggu hendaklah mengikut keluasan ruang lantai iaitu 5m persegi bagi seorang pelanggan. Pelanggan atau pekerja juga tidak dibenarkan melipat pakaian dalam premis.

  “Pemilik perlu menyediakan petugas sepanjang masa operasi bagi memastikan pelaksanaan syarat-syarat dipatuhi,” katanya.

  Beliau berkata, untuk aktiviti riadah, berjoging hanya dibenarkan di taman awam dan pantai.

  “Hanya dibenarkan berlari atau berjalan dan tidak dibenarkan menggunakan alatan senaman contohnya ‘monkey bar’, ‘air-bike’, ‘skywalker’ dan alatan taman permainan kanak-kanak seperti jongkang-jongket, buaian, gelongsor dan bangku.

  “Senaman atau riadah perlu bersendirian atau bersama anggota isi rumah sahaja, namun pastikan jarak dengan orang lain adalah 2m dan tidak melebihi dua orang jika bukan ahli isi rumah.

  “Orang ramai tidak dibenarkan membawa kanak-kanak berumur bawah 10 tahun selain tidak dibenarkan menganjurkan aktiviti berkumpulan, keraian dan pertandingan.

  “Aktiviti tidak boleh dilakukan di jalan raya persekutuan, negeri, kampung dan trek taman hutan ialah tidak melebihi 10 orang dalam satu-satu kumpulan dan masa dengan mematuhi SOP sektor sukan dan rekreasi bagi sukan berbasikal dan bermotosikal. Satu kenderaan adalah untuk seorang sahaja. 

  “Operasi dan penggunaan fasiliti awam adalah terhad bagi aktiviti latihan yang tidak membabitkan sentuhan fizikal dan maksimum 10 orang sahaja dalam satu-satu masa serta tempat.

  “Pemilik fasiliti boleh mengadakan jadual penggiliran jika terlalu ramai ingin menggunakan kemudahan terbabit.

  “Semua padang golf awam dan swasta pula perlu mematuhi garis panduan ditetapkan ‘Malaysia Golf Association’ (MGA) serta syarat-syarat berikut – kelab dibenarkan beroperasi mulai 7 pagi sehingga 7 petang sahaja. 

  “Kelab dikehendaki mengikut semua SOP permainan yang ditetapkan; penggunaan ‘driving range’ berdasarkan tempahan sahaja dan penggunaan ‘bay’ secara berselang; kedi perlu memastikan jarak 1m daripada pemain sepanjang tempoh permainan; penggunaan buggy dibenarkan hanya seorang untuk satu kenderaan dan ia perlu sentiasa disanitasi sekurang-kurangnya sekali sehari.

  “Semua kemudahan kelab seperti gimnasium, surau dan bilik persalinan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti maksimum berdasarkan kesesuaian saiz ruang.

  “Jumlah dan tempoh masa pelanggan berada di ‘pro-shop’ perlu dikawal oleh pengurusan kelab berdasarkan saiz ruang premis. Kafetaria kelab perlu mematuhi SOP seperti mana yang ditetapkan untuk restoran,” katanya.

  Selain itu, katanya, tiada sebarang aktiviti berkumpulan, keraian dan pertandingan dibenarkan sepanjang PKPB berlangsung.

  “Aktiviti di masjid dan surau dibenarkan dengan had kehadiran ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP), manakala aktiviti di rumah ibadat bukan Islam dibenarkan dengan had kehadiran ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan negeri. Sambutan Thaipusam bagi 2021 di negeri ini dibatalkan,” katanya.

  Menurutnya, semua pi

hak yang terbabit dalam aktiviti pembersihan pasca banjir perlu mematuhi SOP COVID-19 iaitu Sentiasa memakai pelitup muka  dan menggunakan ‘hand sanitizer’ mini serta sarung tangan sendiri ketika melaksanakan kerja.

  “Badan-badan bukan kerajaan (NGO), badan korporat dan sukarelawan yang ingin terbabit dalam aktiviti gotong royong pasca-banjir negeri ini perlu berdaftar secara dalam talian di laman web (https://ebanjir.pahang.gov.my).

  “Semakan status kelulusan permohonan boleh disemak melalui laman web berkenaan. Pas kenderaan yang disertakan bersama dengan surat kelulusan juga perlu dicetak dan dipaparkan pada kenderaan yang digunakan.

  “Jumlah sukarelawan bergantung kepada saiz ruang yang ingin dibersihkan dengan maksimum 10 orang pada satu-satu masa. Semua NGO dan sukarelawan tidak dibenarkan membuat sebarang sentuhan fizikal dengan mangsa banjir terutamanya di pusat pemindahan sementara (PPS).

  “Bagi mana-mana sukarelawan, badan korporat dan NGO yang berada di luar Pahang khususnya dari Zon Merah di bawah PKP adalah tidak dibenarkan menjalankan aktiviti ini di Pahang.

  “Selain itu, kelulusan merentas sempadan negeri adalah tertakluk kepada budi bicara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari destinasi masing-masing.

  “Jika diluluskan, aktiviti yang dibenarkan hanya penghantaran barangan bantuan tanpa membabitkan sebarang aktiviti gotong-royong, ramah mesra dan interaksi dengan mangsa banjir.

  “Pasukan konvoi akan sentiasa dipantau pihak PDRM sepanjang perjalanan. Jika berlaku ketidakpatuhan SOP sewaktu perjalanan seperti tidak memakai pelitup muka, gagal mengawal penjarakan fizikal, tidak menggunakan hand sanitizer, tidak menggunakan aplikasi MySejahtera dan kesalahan-kesalahan lain yang berkaitan, tindakan kompoun akan dikenakan serta-merta,” katanya.

  Katanya, aktiviti tidak dibenarkan adalah hiburan di kelab malam atau pub; aktiviti di taman tema, pusat permainan tertutup dan panggung wayang serta aktiviti konsert atau acara langsung dengan kehadiran penonton.

  “Semua seminar, bengkel, kursus, latihan, persidangan, ceramah, pameran, perhimpunan tidak dibenarkan manakala aktiviti yang sedang berjalan hanya dibolehkan berlangsung dalam kawasan institusi latihan dan perlu ditamatkan sebelum penghujung bulan ini.

  “Penganjuran majlis keramaian rasmi dan tidak rasmi kerajaan serta swasta; majlis sosial seperti kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan; resepsi, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, sambutan hari kelahiran, perjumpaan semula, ‘retreat’, perkumpulan keluarga dan majlis sosial lain juga tidak dibenarkan.

“Juga, tidak dibenarkan penyertaan pegawai kerajaan dan swasta bagi majlis rasmi dan tidak rasmi dari kawasan PKP, PKPB dan PKP Diperketatkan (PKPD) ke luar kawasan,” katanya.

  Tambahnya, aktiviti sukan dan rekreasi antaranya berkelah, aktiviti kolam renang, aktiviti bersentuhan fizikal dan sukan tempur; aktiviti perlawanan bagi sukan berpasukan dan penganjuran kejohanan atau pertandingan serta aktiviti sukan dan rekreasi membabitkan ramai orang dan sukar dikawal penjarakan sosial juga memasuki senarai tidak dibenarkan.

  “Acara dan pertandingan sukan dengan kehadiran penonton, dan acara dan pertandingan sukan yang membabitkan peserta luar negara juga tidak dibolehkan,” katanya.

  Katanya lagi, aktiviti pelancongan ke luar kawasan PKPB dan di kawasan PKPD, aktiviti pelancongan ke luar negeri oleh warganegara dan aktiviti pelancongan dalam negeri membabitkan pelancong asing memasuki Malaysia kecuali pelancong asing dari negara sebagaimana dinyatakan oleh menteri, juga tidak dibenarkan.

  “Apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan turut tidak dibolehkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *