“Memang susah sangat, makcik betul-betul tak larat…”

“Memang susah sangat, makcik betul-betul tak larat…”

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar/video Mustaffa Kamal

TEMERLOH: Biasanya dia jarang meminta bantuan orang lain kerana lebih selesa melakukan segala kerja sendiri.
Bukan setakat kerja rumah, bagi Siti Rohani Abdullah, 67, Orang Kelainan Upaya (OKU) dari Kampung Kelibang, Kerdau, dekat sini, dia sanggup bertukang membetulkan lantai atau menggantikan dinding rumah papan miliknya jika rosak.
Namun kudrat warga emas itu semakin menyusut ketika banjir melanda rumahnya dua minggu lalu, benar-benar memberi cabaran apatah lagi dia kini diserang pelbagai penyakit selain sukar berdiri atau berjalan.
“Macam-macam sakit ada pada makcik sejak akhir-akhir ini sehingga dah tak boleh pergi bekerja menoreh getah. Kepala makcik tak seimbang, tak boleh nak berjalan dan mudah jatuh sebab tak boleh nak imbang badan.
“Jadi bila berlaku banjir baru-baru ini memang susah sangat… walaupun hanya separas pinggang tak seperti 2014 yang cuma tinggal bumbung, makcik betul-betul tak larat, tambah pula anak-anak jauh, cuma seorang yang tinggal berdekatan di Temerloh,” kata ibu kepada empat anak itu yang ditemui pada majlis bantuan bagi mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di Dewan Terbuka Kampung Sri Ketumbit, Kuala Krau, dekat sini.
Bantuan disampaikan Ahli DUN (ADUN) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad kepada 120 keluarga dari Kampung Ketam, Peragap, Kelibang, Paya Taram dan Kuala Kerdau.
Bagi ibu tunggal, Norlida Mohamad Sabri, 31, dari Kampung Kuala Kerdau, dia bersyukur menerima bantuan itu selepas terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.
“Saya ingatkan sedikit sahaja sebab itu datang sini jalan kaki. Tak sangka banyak pula bantuan diterima hari ini,” katanya yang mempunyai lima anak.
Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, hampir keseluruhan mangsa banjir dari kampung dalam DUN Kerdau sudah menerima bantuan kecuali penduduk di Kampung Bukit Lada.
“Kita tak dapat bagi (beri) lagi bantuan mangsa banjir di Kampung Bukit Lada sebab pihak berkuasa mengesan ada individu positif COVID-19 singgah di kampung itu baru-baru ini.
“Kampung itu sekarang sedang dikuarantin dan selepas dua minggu baru kita boleh sampaikan bantuan sama seperti bantuan untuk kampung lain hari ini iaitu pelbagai barangan keperluan antaranya beras, minyak masak, susu dan toto (tilam gulung),” katanya menambah, keadaan di DUN Kerdau yang terjejas akibat banjir dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *