Titis air mata lihat rakaman video ketika pondok hanyut dirempuh arus banjir

Titis air mata lihat rakaman video ketika pondok hanyut dirempuh arus banjir

Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic/Video Mohd Imran Izzad

LANCHANG: “Sayu dan luluh hati sehingga menitis air mata saya apabila melihat rakaman video keadaan banjir yang berlaku hingga merosakkan pondok tempat tinggal pelajar.
“Ini kali pertama dalam hidup saya melihat bencana seumpama itu,” kata warga emas, Sharani Mohd, 72.
Beliau yang juga balu kepada pengasas pondok Tahfiz Haji Ahmad, Kampung Dala, di sini berkata, arus air yang deras menghanyutkan beberapa pondok kayu jauh daripada tapak asal hingga menyebabkan atap serta dinding tercabut.
Katanya, terdapat 18 pondok atau tempat tinggal pelajar lelaki berusia sembilan hingga 19 tahun yang belajar menghafal al-Quran tanpa dikenakan sebarang bayaran oleh pihak pengurusan pondok.
Menurutnya, pondok Tahfiz Haji Ahmad terletak dalam kawasan kebun getah dan beroperasi sejak tiga tahun lalu dengan menempatkan pelajar lelaki yang menghafal al-Quran, selain enam wanita warga emas mengikuti pengajian agama tinggal di rumah yang dijadikan asrama
“Saya tidak pasti berapa jumlah kerugian dialami namun semua pondok kayu yang hanyut dan rosak akan dibaiki dan kemudian ditempatkan di tapak baharu berhampiran tapak asal.
“Kami menerima sumbangan kewangan pelbagai pihak bagi menguruskan pondok Tahfiz Haji Ahmad dan penubuhannya bertujuan melahirkan generasi muda yang mampu menghafal al-Quran selain pendidikan Islam semua peringkat usia,” katanya di sini, semalam.
Sebelum ini viral di media sosial pondok Tahfiz Haji Ahmad yang dibangunkan keluarga Pencetus Ummah, Mohd Lokman Ahmad (PU Lokman) ditenggelami banjir besar minggu lalu yang menyebabkan beberapa pondok dihanyutkan arus deras.
Sementara itu, PU Lokman berkata, pihak pengurusan pondok kini memerlukan sumbangan pihak yang prihatin untuk membaiki pelbagai kerosakan terutama membabitkan pondok tempat tinggal pelajar lelaki.
“Banjir kali ini agak luar biasa apabila air naik dengan cepat seterusnya menenggelamkan keseluruhan kawasan. Ini kali pertama banjir seburuk ini berlaku yang turut membawa bersama lumpur tebal.
“Sebanyak 18 pondok, rumah kami sekeluarga, surau, kantin dan kereta ditenggelami air. Banjir yang berlaku merupakan ujian buat kami sekeluarga untuk membangunkan semula pondok Tahfiz Haji Ahmad,” katanya.
Beliau berkata, dia yakin ada hikmah di sebalik kejadian banjir yang berlaku dan sejarah pasti tercipta apabila berpeluang melihat keadaan banjir besar sehingga semua pondok hanya nampak bumbung.
“Saya merayu kepada mereka yang bermurah hati untuk tampil memberi sumbangan bagi membantu kami membangunkan semula pondok Tahfiz Haji Ahmad.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kerana memberi sumbangan bencana kepada kami yang disampaikan oleh
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman,” katanya.
Sementara itu Dr Asmadi berkata, MUIP memberi bantuan bencana berjumlah
RM176,000 kepada 24 maahad tahfiz dan madrasah yang terjejas akibat banjir dengan masing-masing menerima antara RM5,000 hingga RM10,000.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *