Pergerakan tanah terus di kawasan tangki air

Pergerakan tanah terus di kawasan tangki air

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: “Saya merayu kepada pihak berkuasa supaya segera bertindak bagi memastikan 

pergerakan tanah cerun bukit yang menempatkan tangki air tidak terus berlaku,” kata Zulli Muhammad, 56.

  Menurutnya, penghuni rumah di Lorong 28 dan 25, Taman Gambang Damai, di sini, kini dibelenggu kebimbangan berikutan kesan pergerakan tanah yang berlaku sehingga menyebabkan simen penampan pada lereng bukit pecah.

  Katanya, dengan saiz tangki yang besar dan menyimpan ribuan liter air kejadian buruk pasti berlaku sekiranya tangki berkenaan pecah disebabkan pergerakan tanah serta hakisan yang serius.

  “Saya bagi pihak penduduk berharap usaha menghalang pergerakan tanah dapat segera dilakukan bagi memastikan kejadian buruk tidak berlaku seterusnya menyebabkan kehilangan nyawa.

  “Saya difahamkan laporan 

 Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berkaitan pergerakan tanah di kawasan tangki hanya akan dikeluarkan Isnin ini (esok) untuk diserahkan kepada kerajaan negeri sebelum sebarang tindakan dilakukan,” katanya, di sini.

  Beliau menambah, penduduk berharap usaha membina penampan atau benteng halangan segera dapat dibina bagi mengelak pergerakan tanah berlaku yang kini terus terjadi sehingga turut menyebabkan kejadian hakisan lereng bukit.

  Zulli menambah, tinjauan di kawasan berkenaan mendapati aliran air bawah tanah yang mungkin menjadi faktor utama pergerakan tanah dipercayai berlaku sejak beberapa bulan lalu.

  Katanya, kejadian pergerakan tanah semakin ketara berlaku ketika musim hujan awal bulan ini yang turut menyebabkan bencana banjir berlaku dan pada masa sama dua rumah berkembar di lorong 29 runtuh menyembah bumi.

  Menurutnya, beberapa penduduk di lorong 28 sudah berpindah kerana bimbang kejadian buruk berlaku pada bila-bila masa berikutan pergerakan tanah yang sentiasa berlaku.

  “Saya mewakili penduduk berharap dan merayu supaya kerajaan segera bertindak sesuatu bagi menjamin keselamatan penduduk kerana tangki air terbabit menyimpan beribu liter air bersih dan sekiranya pecah akan mengundang kemalangan jiwa dan kemusnahan harta benda.

  “Penduduk tidak mahu episod hitam kejadian dua rumah berkembar di lorong 29 yang runtuh kerana pergerakan tanah sebelum ini berlaku pada tangki air di lorong 28,” katanya yang sentiasa memantau kawasan tangki air terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *