Pusat Penempatan Mangsa Banjir Serba Lengkap Bakal Dibina Di Pahang

Pusat Penempatan Mangsa Banjir Serba Lengkap Bakal Dibina Di Pahang

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

BERA: Kerajaan negeri bersetuju mewujudkan pusat penempatan serbaguna (PPSG) secara kekal di beberapa daerah yang bukan sahaja boleh menempatkan mangsa banjir, malah digunakan untuk aktiviti lain di luar musim banjir. 

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bangunan PPSG terbabit akan dibina di daerah terkesan teruk iaitu di Kuantan, Pekan, Maran dan Temerloh.

  “Ia pasti akan dibuat, bergantung kepada lokasi dan tempat difikirkan sesuai selepas kita dapatkan pandangan daripada semua pihak sebab kita tak mahu seperti berlaku baru-baru ini apabila tak boleh nak akses beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) seperti di Benta sebab PPS itu pun naik air (tenggelam) juga.

  “Tempat (PPSG) ini boleh menampung mangsa banjir dengan pelbagai kemudahan disediakan, maknanya tandas lebih elok dan ada tempat makan. Bagaimanapun kos pembinaan masih belum diketahui,” katanya.

  Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pembersihan Seolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak, Guai di sini, hari ini.

  Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato’ Abd Rahim Muda serta Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Dato’ Sri Mohd Johari Hussain.

  Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, setakat ini kerajaan negeri sudah membelanjakan RM12 juta untuk membantu sekitar 47,000 mangsa banjir daripada lebih 14,000 keluarga.

  Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju untuk menambah pelbagai bantuan kepada mangsa banjir antaranya menyediakan sejumlah peruntukan untuk tempoh masa tertentu kepada ketua isi rumah (KIR) yang perlu menyewa rumah lain akibat kehilangan rumah sepenuhnya akibat banjir.

  “Kita juga menimbang untuk memberikan sumbangan ‘one-off’ pada kadar tertentu kepada KIR berdaftar dengan pusat kawalan operasi banjir (PKOB) di daerah masing-masing. Bantuan ini mungkin dalam bentuk tunai sebab difahamkan bantuan makanan sudah terlalu banyak.

  “Selain itu, pemberian rebat kepada KIR sehingga RM15 bagi kegunaan air domestik untuk Januari 2021, manakala rumah ‘total lost’ (musnah keseluruhannya), rebat penuh kegunaan air diberikan kepada KIR bagi Januari dan Februari tahun ini,” katanya.

  Tambahnya, pengecualian sewa untuk Januari tahun ini diberikan kepada penyewa gerai milik pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terkesan banjir. 

  “Pengecualian sewa gerai PBT untuk satu tempoh sehingga dipulihkan sepenuhnya bagi gerai yang rosak teruk akibat banjir,” katanya.

  Sehubungan itu, beliau berkata, pejabat daerah dan tanah (PDT) dikehendaki mengemas kini maklumat terperinci mengenai mangsa banjir berkaitan jenis kerosakan rumah dialami bagi memudahkan penyaluran bantuan susulan oleh kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan NGO selain sumbangan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

  “PDT juga akan menyelaraskan usaha mengesan rumah mangsa banjir yang perlu diberi bantuan kerja-kerja penyelenggaraan pendawain elektrik yang rosak akibat banjir,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *