Rangka kapal lama ditemui di Lipis diserahkan kepada Jabatan Muzium

Rangka kapal lama ditemui di Lipis diserahkan kepada Jabatan Muzium

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

BERA: Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Muzium Negeri Pahang untuk menguruskan rangka kapal lama yang ditemui berdekatan Jambatan Gantung Sungai Kampung Pagar Penjom, Lipis, minggu lalu.

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat EXCO kerajaan negeri, baru-baru ini.

  “Baru-baru ini kita dah buat keputusan dalam mesyuarat EXCO supaya Jabatan Muzium Negeri Pahang untuk menguruskan apa (bangkai kapal) yang ditemui.

  “Saya nak ucapkan terima kasih kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia)… kita tahu lambat mengenai penemuan ini dan ada individu tertentu memotong tembaga dan paku pada kapal sebelum menjualnya tetapi pihak berkuasa dah dapat semula barangan yang diambil,” katanya.

  Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja-kerja pembersihan Seolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak, Guai di sini, hari ini.

  Minggu lalu, akhbar melaporkan mengenai rangka dan serpihan dipercayai daripada bangkai kapal lama digunakan pada era 1800-an ditemui di tepi Sungai Lipis berdekatan Jambatan Gantung Sungai Kampung Pagar Penjom yang dikatakan timbul selepas banjir besar melanda Lipis.

  Kapal dipercayai berusia sekitar 200 itu hanya ditemukan seminggu selepas banjir surut di sebalik sampah tebal.

  Bagaimanapun difahamkan, kapal yang dilihat pelbagai pihak sebagai artifak berharga itu dikerat dan diĀ­leraikan oleh sekumpulan lelaki.

  Pada badan kapal, terdapat tulisan pada sekeping logam ‘VIVIA AND SONS SHEATING’, namun beberapa bahagian badan kapal sudah tiada.

  Berdasarkan carian di internet, ‘Vivia and Sons’ adalah syarikat pengeluar salutan tembaga untuk kapal yang membuka kilang peleburan di Lower Swansea Valley di Wales, United Kingdom, antara tahun 1808 hingga 1809 bagi menampung permintaan pasaran salutan tembaga dalam industri perkapalan. 

  Pada 1810, syarikat itu dikatakan mengeluarkan salutan tembaga secara besar-besaran untuk pasaran domestik dan antarabangsa. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *