SKM bubar ALK KOSMA, lantik Jawatankuasa Pentadbir

SKM bubar ALK KOSMA, lantik Jawatankuasa Pentadbir

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bertindak membubarkan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) Koperasi Serbausaha Makmur Bhd (KOSMA) berikutan langkahnya mengambil 42 anggota yang beralamat di luar Pahang.

  KOSMA dalam satu kenyataan media baru-baru ini memaklumkan, susulan itu, SKM melantik pentadbir bagi menggantikan fungsi dan peranan ALK terbabit mengikut Seksyen 69(2)(a)(i) Akta Koperasi 1993.

  “Isu paling besar yang menjadi asas pembubaran ALK ini disebabkan kegagalan KOSMA mematuhi Seksyen 26(c) Akta 502 dan Undang-undang Kecil (UUK) Koperasi, fasal 11(2)(c) yang mana KOSMA mengambil 42 orang anggota yang beralamat di luar Pahang. 

  “Maka SKM pada 17 November 2020, membubarkan ALK KOSMA mengikut Seksyen 69(1)(iv)(c) Akta Koperasi 1993,” petik kenyataan itu. 

  DIfahamkan, isu pengambilan anggota tidak mematuhi syarat kelayakan itu berlaku sejak sekian lama.

  “Dianggarkan 670 orang diterima sebagai anggota walaupun tidak mematuhi syarat kelayakan mengikut akta dan UUK Koperasi. 

  “Ini menyebabkan penubuhan KOSMA pada 4 Disember 1967 tersasar daripada matlamat asalnya,” kata kenyataan itu.

  Selaku pihak berkepentingan, kerajaan Pahang melihat isu pembubaran ALK KOSMA itu sebagai sesuatu yang serius, namun pada masa sama beranggapan ia wajar diambil bagi menyelesaikan isu dalaman koperasi berkenaan. 

  Sehubungan itu, bagi menjamin kepentingan kerajaan Pahang dalam KOSMA, dua wakil kerajaan negeri dilantik bagi menganggotai Jawatankuasa Pentadbir KOSMA iaitu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Sallehudin Ishak dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar Pahang, Dato’ Md Yusli Ibrahim Mohd Yunus.

  “Jawatankuasa Pentadbir KOSMA menyeru semua pihak termasuk bekas ALK, anggota-anggota KOSMA, pelabur, rakan perniagaan dan pihak yang berkepentingan supaya bertenang dan menerima pembubaran ALK berkenaan dengan hati dan fikiran terbuka. 

  “KOSMA masih lagi teguh berdiri dan semua perniagaan KOSMA masih berjalan seperti biasa di bawah selian SKM, Jawatankuasa Pentadbir dan pengurusan KOSMA. Semua hak dan kebajikan anggota tetap terjamin dan diuruskan secara professional, berintegriti, telus dan amanah.

  “Berilah ruang, peluang dan kepercayaan kepada SKM, Jawatankuasa Pentadbir dan pengurusan KOSMA mentadbir urus dan menyelesaikan segala isu yang timbul di dalam koperasi ini,” tambah kenyataan itu. 

  Difahamkan, SKM akan menyerahkan semula tadbir urus KOSMA kepada anggota lembaga melalui Mesyuarat Agung Koperasi pada masa akan datang selepas agensi itu berpuas hati dengan tindakan pemulihan dan penambahbaikan dilaksanakan dalam KOSMA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *