Lebih 40 masjid, 70 pondok tahfiz rosak akibat banjir

Lebih 40 masjid, 70 pondok tahfiz rosak akibat banjir

Oleh Admin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

MARAN: Lebih 40 buah masjid dan 70 pondok tahfiz serta madrasah di seluruh negeri pahang musnah, rosak teruk atau terjejas berikutan banjir besar yang melanda negeri ini awal bulan ini.
Berikutan itu, Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, telah bersetuju meluluskan sejumlah peruntukan bagi membaiki dan membaik pulih masjid serta madrasah terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Menteri Besar sangat prihatin dengan musibah yang menimpa pondok serta sekolah tahfiz terbabit dan telah bersetuju memberikan sedikit sumbangan.
“Untuk sekolah dan pondok tahfiz ini, YAB Dato’ Sri bersetuju untuk memberikan bajet tidak kurang daripada RM130,000 untuk diagihkan kepada 70 pondok dan sekolah tahfiz yang terlibat.
“ Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah kenal pasti semua pondok dan sekolah tahfiz terbabit dan telah menyampaikan senarainya ke tangan saya dan saya telah membawa makluman itu kepada kerajaan negeri.
“Hari ini kita datang menziarah dengan membawa sedikit sumbangan kepada Al Fadil Ustaz Rujhan Sulaiman, berupa kitab-kitab rujukan untuk bacaan dan pembelajaran di pondok beliau, buku-buku tulis serta barang-barang makanan, barang elektrik seperti freezer sejuk beku dan periuk nasi.
“Ini adalah sebagai tanda kebersamaan kami, JAIP dan semua rakan-rakan pondok yang terlibat ini. Inysa-Allah kita mungkin akan ke pondok lain juga selepas ini,” katanya selepas menziarah dan menyerahkan sumbangan kepada Ustaz Rujhan di Pondok Ribath Taufiq, Chenor, dekat sini, hari ini.
Turut mengiringi beliau ialah Pengarah JAIP, YH Dato’ Dr Zulkifli Ali, Timbalan Pengarah JAIP, Ustaz Zakaria Mohamed dan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah JAIP, Ustaz Fazli Mat Saman.
Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, selain 70 pondok tahfiz, lebih 40 masjid dan surau serta sekolah kebangsaan, rumah orang kurang upaya (OKU) dan kebun milik pekebun kecil yang turut musnah atau terjejas dalam kejadian banjir tempoh hari.
“Semuanya kerajaan negeri kena tengok dan bantu serta teliti dengan sehabis baik. Jadi maklumlah, bila sudah banyak itu kita terpaksalah kongsi sedikit seorang (bantuan),” katanya sambil berdoa agar pondok tahfiz di negeri Pahang segera pulih seperti sediakala dan berkhidmat kepada anak-anak didik serta pelajar dengan sebaik-baiknya.
Dato’ Sri Syed Ibrahim juga menyeru agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri Pahang untuk sama-sama turun padang untuk membantu membersihkan dan membaik pulih pondok tahfiz yang terjejas dengan banjir.
“Umpamanya jalan masuk ke Ribath Taufiq ini perlu dibersihkan dan dibaik pulih oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebab sudah runtuh dan saya yakin pihak bomba dapat datang mencuci jalan ini.
“Sudah tentu Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dapat memberikan perhatian sebaik-baiknya kerana jalan ini saja saja untuk kegunaan pondok ini, malah orang kampung berhampiran turut menggunakannya untuk berulang-alik mencari rezeki,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *