Haluan bantu cuci lumpur pasca banjir

Haluan bantu cuci lumpur pasca banjir

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Pic Mohd Imran Izzad 

MARAN: “Walaupun tidak dapat mencuci 100 peratus lumpur yang terlalu banyak namun diharap kehadiran kami dapat mengembalikan semangat penduduk Kampung Sekara, Chenor, yang ditimpa musibah banjir,” kata sukarelawan Abd Bashir Abd Ghani.

  Pada program pasca banjir yang diadakan semalam disertai

20 sukarelawan Pertubuhan Himpunan Lepasan  Institusi Pendidikan Malaysia 

(Haluan) bersama penduduk setempat bergotong-royong membersihkan bangunan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) serta Masjid Kampung Sekara, Chenor, di sini, yang ditenggelami banjir selama kira-kira dua minggu.

  Beliau yang juga Ketua Biro Haluan Cawangan Pahang berkata, pada program diadakan itu pihaknya turut menghulurkan bantuan keperluan asas untuk digunakan penduduk yang terkesan dengan bencana banjir kali ini.

  Katanya, dengan tenaga kerja terhad pihaknya tidak mampu mencuci keseluruhan bangunan Kafa dan masjid namun yang penting ialah tanda prihatin terhadap masyarakat setempat itu lebih utama.

  “Dalam tempoh beberapa hari berada di Kampung Sekara ini kami dapat membantu membuang lumpur yang banyak dalam kawasan bangunan Kafa selain mencuci kelas serta peralatan seperti kerusi dan meja.

  “Lumpur lepas banjir begitu banyak dan usaha membuang menimbulkan masalah berikutan tekanan air yang rendah selain kekurangan peralatan,” katanya.

  Beliau menambah, kejadian banjir kali ini membawa bersama lumpur menyebabkan  banyak harta benda penduduk musnah berikutan paras banjir di Kampung Sekara yang terletak hampir dengan Sungai Pahang ini, mencatat lebih dua meter.

  Abd Bashir berkata, kehadiran sukarelawan sedikit sebanyak dapat meringankan beban penduduk setempat membersihkan masjid, rumah dan kemudahan awam.

  Sementara itu Ketua Kampung Sekara, Mohd Safari Manap berkata, kehadiran sukarelawan pasca banjir membantu meringankan beban penduduk yang tertekan selepas rumah masing-masing ditenggelami banjir.

  “Saya bagi pihak masyarakat setempat mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan dari dalam dan luar Pahang yang datang membantu mencuci masjid, Kafa dan rumah penduduk,” katanya yang turut berpindah selepas rumahnya ditenggelami banjir lebih dua meter.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *