Rangka kapal lama dijaga Pejabat Daerah Lipis

Rangka kapal lama dijaga Pejabat Daerah Lipis

Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Bagi memulihara artifak rangka kapal lama yang ditemui selepas banjir surut di Kampung Pagar, Mukim Penjom, Lipis, baru-baru ini, kerajaan negeri bersetuju relik berusia lebih 200 tahun itu ditempatkan di Muzium Warisan Lipis.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pengawasan dan penjagaan artifak berkenaan diuruskan Pejabat Daerah Lipis.
Katanya, keputusan itu selepas Perbadanan Muzium Negeri Pahang dan Jabatan Warisan Negara (JWN) bersetuju menjalin kerjasama memulihara artifak rangka kapal itu.
“Setakat ini, Muzium Pahang, JWN bersama masyarakat kampung sudah menjalankan proses mendokumentasi, merekod dan memulihara artifak itu.
“Penyelidikan pada fasa seterusnya dijangka melalui proses ekskavasi arkeologi di lokasi kapal itu ditemui untuk mendapat maklumat secara saintifik dan memastikan keseluruhan artifak yang tertinggal dapat ditemukan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Sharkar berkata, daripada tinjauan, lebih 100 pecahan kayu ditemui yang dipercayai sebahagian daripada badan kapal itu berdasarkan morfologi dan jenis kayu serta paku.
Katanya, turut ditemui sejumlah seramik dagangan yang seusia dengan relik kapal itu yang terdiri daripada seramik China dan Eropah di sekitar tapak jumpaan.
“Daripada analisis awal, kapal berkenaan kemungkinan jenis kapal wap sepanjang 25 hingga 300 meter panjang.
“Berdasarkan rekod sejarah di kawasan itu, kapal berkenaan boleh dikaitkan dengan kegiatan perlombongan emas di Penjom yang beroperasi sejak abad ke-19.
“Beberapa kapal jenis kapal wap beroperasi atau melalui di sepanjang sungai Pahang di Kuala Pahang, Pekan sehingga Sungai Lipis,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *