MAIWP salur RM1.25 juta bantuan banjir untuk asnaf

MAIWP salur RM1.25 juta bantuan banjir untuk asnaf

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Pic Mohd Imran Izzad 

TEMERLOH: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menerima sumbangan 15 jenis barangan bantuan banjir untuk asnaf bernilai RM1.25 juta daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

  Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bantuan  berkenaan akan diberikan kepada lebih 2,000 asnaf mangsa banjir di negeri ini dan agihan akan dilakukan dalam masa terdekat.

  Menurutnya, antara barangan  diterima seperti tilam toto sebanyak 3,000 unit, kain batik (2,000), kain pelikat (2,000), sejadah (2,000), telekung (2,000), dapur (2,000), periuk nasi (2,000), cerek elektrik (2,000) dan lampin pakai buang (2,000).

  Katanya, MAIP dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB ) Daerah

bertanggungjawab sepenuhnya mengagihkan barangan berkenaan dalam masa terdekat ini berdasarkan senarai asnaf setiap daerah disediakan MAIP Cawangan Daerah.

  “Bantuan yang diberikan kepada golongan asnaf diharap  dapat meringankan beban mereka terutama selepas kehilangan harta benda selepas rumah mereka ditenggelami banjir besar baru- baru ini.

  “MUIP juga sebelum ini turut memberi bantuan bencana sekali bayar (one off) sebanyak RM1.130 juta kepada 3,767 golongan asnaf dan fakir miskin di negeri ini yang terkesan disebabkan bencana banjir,” katanya.

  Beliau berkata demikian selepas menerima bantuan banjir daripada MAIWP yang disampaikan oleh Pengurus 

Bahagian Pembangunan Insan MAIWP, Mohd Fauzi Abidin, di sini.

  Dr Asmadi berkata, bantuan MAIWP ditempatkan di daerah ini dan Jerantut, ia bagi memudahkan aktiviti agihan kerana dua daerah ini teruk dilanda banjir yang memberi kesan pada golongan asnaf. Banjir yang bertahan lebih seminggu menyebabkan banyak kerugian pada mangsa.

  “Saya bagi pihak MUIP mengucapkan terima kasih kepada MAIWP yang sudi menghulurkan bantuan banjir khusus untuk golongan asnaf yang menjadi mangsa bencana itu. Bantuan berkenaan dapat meringankan beban mereka,” katanya.

  Sementara itu, Mohd Fauzi berkata, bantuan yang diberikan antara tanggungjawab pihaknya dalam usaha membantu golongan asnaf yang menjadi mangsa banjir di Pahang.

  “Kita menyediakan 15 jenis barangan keperluan untuk diagihkan kepada golongan asnaf yang rumah mereka ditenggelami banjir baru-baru ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *