UIAM hulur bantuan kepada mangsa banjir

UIAM hulur bantuan kepada mangsa banjir

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Persatuan Pegawai Tadbir dan Profesional (PMA)

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengagihkan pelbagai barangan keperluan pasca banjir bernilai RM10,000 kepada mangsa di daerah Temerloh, Lipis dan Bera.

Timbalan Pengarah Pejabat Pengarah Kampus UIAM Kuantan Adam Teo bersama sebahagian barangan bantuan untuk diberikan kepada mangsa banjir.

  Program prihatin itu mendapat kerjasama Regional Centre of Expertise (RCE) Greater Gombak, Selangor; Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID) yang menghulurkan sumbangan berupa makanan, 

sabun pencuci, pakaian dan tuala wanita. 

  Timbalan Pengarah Pejabat Pengarah Kampus UIAM Kuantan, Adam Teo berkata, bantuan yang diberikan secara berperingkat itu bagi meringankan beban mangsa  selepas rumah mereka ditenggelami banjir dalam jangka masa panjang.

  Menurutnya, bantuan lain yang turut diberikan ialah periuk nasi elektrik dan tilam toto yang terdiri daripada golongan miskin, orang kelainan upaya (OKU), warga emas, B40 dan ibu tunggal.

  “Bantuan fasa pertama sudah diagihkan sebelum ini membabitkan mangsa banjir di Temerloh, Lipis dan Bera yang terjejas teruk dan memerlukan bantuan segera.

  “Walaupun kebanyakan mereka sudah menerima bantuan kerajaan sebelum ini, namun kita tetap juga sediakan bantuan kepada pihak terbabit  membabitkan mengikut keperluan,” katanya di sini, semalam.

  Beliau menambah, sebelum ini pihaknya mengagihkan bantuan terus kepada beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Lipis membabitkan barangan seperti sabun pencuci dan pakaian.

  Adam berkata, bantuan yang diberikan ini hasil sumbangan kakitangan UIAM yang sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi masyarakat negara ini. Sebelum ini bantuan juga diberikan kepada rakyat Kemboja yang dihimpit kemiskinan.

  “Bantuan pasca banjir fasa kedua di negeri ini akan menyusul. Saya yakin mangsa banjir memerlukan lebih banyak bantuan terutama apabila harta benda mereka musnah.

  “Usaha yang dilakukan ini diharap menjadi ikutan pihak lain untuk turut sama menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di negara ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *