Pemaju diarah baiki enam rumah di Taman Gambang Damai yang rosak akibat tanah runtuh

Pemaju diarah baiki enam rumah di Taman Gambang Damai yang rosak akibat tanah runtuh

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUANTAN: Pemaju perumahan di Taman Gambang Damai, dekat sini, diarahkan membaiki enam kediaman yang rosak akibat kejadian tanah runtuh, awal Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda berkata, pemaju juga diminta membaiki kerosakan cerun yang runtuh dengan dipantau Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Katanya, keputusan mesyuarat antara Kerajaan Negeri yang diwakili beliau dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Pejabat Tanah Pahang, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Pahang, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pemaju, Sentoria Alpa Sdn Bhd pada 29 Januari lalu, juga bersetuju supaya pihak pemaju membaiki beberapa infrastruktur lain di taman perumahan itu.

“Antaranya membaiki keretakan longkang dan rumah, membaiki tembok jalan masuk ke tangki air PAIP (Pengurusan Air Pahang Bhd) dan membuat laluan air keluar dari kolam yang terdapat di atas bukit. Selain itu, sistem bekalan air bypass akan dibaiki pihak PAIP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Fikrah Pahang di sini, hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam 5 Januari lalu, dua unit rumah berkembar di Lorong 29, Taman Gambang Damai, dilaporkan musnah, apabila runtuh dipercayai disebabkan pergerakan tanah yang terletak di cerun bukit.

Empat rumah dikenal pasti sangat berisiko selepas terdapat kerosakan pada struktur binaan rumah selain kesan pergerakan tanah yang serius.

Difahamkan, hanya 11 rumah termasuk satu yang roboh, berpenghuni manakala selebihnya dijadikan rumah tamu dan kosong ketika kejadian.

Mengulas lanjut, Abd Rahim berkata, bagi kerja-kerja analisis teknikal kejuruteraan, ia akan dilakukan syarikat perunding yang akan dilantik  pemaju untuk memastikan keselamatan lain-lain rumah yang berada di kawasan cerun. 

“YAB Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) yang sudah dua kali melakukan lawatan di kawasan berkenaan sudah meminta pemaju untuk menyegerakan kerja membaiki cerun untuk keselamatan penduduk dan menggantikan rumah yang runtuh serta rosak. 

“Pejabat Parlimen Paya Besar dan Pejabat DUN (Dewan Undangan Negeri) Lepar sejak awal kejadian sudah membantu menyediakan makanan kepada 200 penduduk yang berpindah sementara dan terjejas bagi mengurangkan bebanan mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *