UIAM beri komputer riba kepada penuntut daripada keluarga miskin

UIAM beri komputer riba kepada penuntut daripada keluarga miskin

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Pic/video Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan bersama Tabung Endowment UIAM dan

Tabung Budiman menyumbangkan tujuh unit komputer riba berharga RM10,000 kepada penuntut Fakulti Kejururawatan kurang berkemampuan yang kini terpaksa mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

  Ketua Pusat Sehenti Pelajar, UIAM Kuantan Muhammad Noor Ayob berkata, bantuan kali pertama diperkenalkan itu untuk golongan B40 yang memerlukan sokongan dalam usaha mencipta kejayaan dalam akademik.

  Menurutnya, fasa pertama bantuan melalui beberapa peringkat hingga akhirnya berjaya menemukan tujuh penuntut Fakulti Sains Kejururawatan yang benar-benar layak menerima komputer riba berkenaan dan kemudahan yang diberikan itu diharap melancarkan aktiviti 

PdP secara dalam talian.

  “Tujuh penuntut yang terbabit masing-masing turut menerima wang tunai RM1,000 sebagai perbelanjaan menyediakan talian internet selain menjadi wang saku ketika diperlukan.

  “Semua penuntut kini berada di kampung masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Proses penghantaran komputer riba dilakukan menggunakan perkhidmatan Pos Malaysia,” katanya yang selepas membantu proses membungkus dan menilai keupayaan komputer riba berkenaan sebelum dihantar kepada penuntut, di sini.

  Beliau menambah, bantuan diberikan kepada penuntut terbabit diharap menjadi pencetus kepada kejayaan diidamkan, justeru istilah ketinggalan pastinya tidak lagi wujud dalam diri mereka yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah.

  Muhammad Noor berkata, bantuan golongan B40 akan diteruskan selepas ini dalam usaha memastikan mereka tidak berhadapan kesukaran meneruskan pengajian yang kini semakin mencabar selepas penularan wabak COVID-19 di negara ini.

  Bagi Nur Fatihah Abdul Rahman, 22, dia tidak menyangka menerima bantuan 

komputer riba yang disediakan oleh UIAM menerusi Tabung Budiman.

  “Saya memohon bantuan berkenaan selepas komputer riba milik saya mengalami masalah dan tidak menyangka permohonan berkenaan diluluskan pihak universiti.

  “Saya bersyukur impian memiliki komputer riba baharu kini menjadi kenyataan dan ia pasti akan dapat melancarkan lagi aktiviti pendidikan sepanjang berada di rumah,” katanya yang menetap di Kampung Desa Harapan, Machang, Kelantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *