Yayasan UMP agih 30 tan barang keperluan kepada 2,000 keluarga mangsa banjir di Pahang

Yayasan UMP agih 30 tan barang keperluan kepada 2,000 keluarga mangsa banjir di Pahang

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Bersimpati dengan nasib penduduk yang terkesan akibat banjir melanda Pahang baru-baru ini, Yayasan Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya mengumpul 30 tan barang keperluan dan wang tunai yang keseluruhan berjumlah RM250,000 bagi membantu mangsa terbabit.

  Sumbangan barangan dan wang tunai itu diterima daripada orang ramai yang prihatin dan mahu meringankan beban yang dihadapi mangsa banjir.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman (tengah) menyampaikan barangan keperluan harian kepada mangsa banjir di Jerantut.

  Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, antara barang keperluan yang diagihkan kepada penerima ialah pakaian kanak-kanak, makanan, bahan pembersihan, selimut, bantal dan cadar.

  Katanya, sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan yayasan dan orang ramai kepada mereka yang memerlukan.

  “Bantuan ini diharap dapat meringankan beban mereka yang terjejas akibat bencana banjir dan berdepan penularan COVID-19,” katanya.

  Bagi membantu membersih rumah dan sekolah yang terjejas banjir, beliau berkata, seramai 209 sukarelawan UMP mendaftar dan menghulurkan bantuan dengan melakukannya secara bergotong-royong.

  “Usaha murni itu juga memudahkan urusan pengumpulan dan pengagihan bantuan terutama berdepan dengan kesukaran pergerakan akibat penularan COVID-19 di negara ini.

  “Namun, kita sentiasa mengingatkan sukarelawan supaya mengambil berat pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu kerana keselamatan tetap menjadi keutamaan,” katanya.

  Selain itu, beliau berkata, usaha itu turut mendapat kerjasama UMP Holdings dan Alumni UMP dalam usaha membantu barisan hadapan secara bersasar.

  “Projek UMPH Flood Relief: Bersama Kita Cakna yang turut membantu mangsa banjir dengan mengagihkan air minuman bersih dan cecair pensanitasi tangan kepada 2,400 penerima,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *