Bangga inovasi katil dalam buku teks sekolah

Bangga inovasi katil dalam buku teks sekolah

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Pic Mohd Imran Izzad 

JERANTUT: “Saya tidak pernah menduga sama sekali berita inovasi katil pesakit yang disiarkan akhbar tempatan dua tahun lalu kini menjadi bahan bacaan dalam buku teks bahasa Melayu sekolah rendah tahun lima,” kata usahawan, Zamilah Hamzah, 41.

  Beliau yang mengusahakan bengkel besi bersama suami,

Mohd Amiruddin Fauzi, 44, berkata kelmarin rakanya menghantar pesanan WhatsApp yang menunjukan berita berkaitan inovasi bertajuk ‘Katil Mesra Pengguna’ disiarkan dalam buku berkenaan.

  Menurutnya, berita dengan tema wawancara oleh seorang wartawan itu hampir sama dilakukan wakil akhbar ketika bertemu dengannya dan suami dua tahun lalu sebelum berita berkenaan disiarkan dalam  portal akhbar terbabit.

  Katanya, difahamkan buku berkenaan mula dikeluarkan tahun ini, namun lewat diterima murid tahun lima berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menyebabkan kerajaan memutuskan sesi persekolahan sekolah rendah ditangguhkan.

  “Sebagai usahawan, saya dan suami begitu berbangga apabila perniagaan menghasilkan katil untuk pesakit kini menjadi bahan bacaan untuk murid sekolah rendah seluruh negara, bukan sahaja berita tetapi juga turut disiarkan gambar kami.

  “Berita di muka surat 136 itu memaparkan temubual suami dengan wartawan dan murid perlu membina ayat seruan berdasarkan kata dan gambar yang dipaparkan,” katanya lebih tujuh tahun menghasilkan katil pesakit. 

  Beliau yang mengusahakan bengkel di Felda Jengka 12, di sini berkata, sebelum ini 

penggubal buku teks Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ada menghubunginya menyatakan minat untuk menjadi berita inovasi katil pesakit yang dihasilkan sebagai bahan bacaan dalam buku teks bahasa Melayu tahun lima.

  Bagaimanapun katanya, dia dan suami seolah-olah tidak begitu yakin sehinggalah kami melihat sendiri buku teks berkenaan kelmarin.

  “Saya dan suami bersyukur usaha yang kami lakukan selama ini mendapat pengiktirafan pelbagai pihak dan berita yang disiarkan dalam buku teks bahasa Melayu tahun lima ini diharap menjadi pendorong kepada golongan muda untuk menghasilkan pelbagai inovasi,” katanya.

  Sementara itu, Panel Penulis Buku Teks Bahasa Melayu Sekolah Rendah DBP dan Kementerian Pendidikan Malaysia, Ibrahim Talib berkata,  dia tertarik memilih berita katil pesakit yang dihasilkan bengkel diusahakan Zamilah dan suaminya kerana tertarik dengan kesungguhan serta kemampuan mereka berdua.

  “Kebolehan yang dimiliki pasangan berkenaan menghasilkan inovasi berkenaan harus dibanggakan seterusnya menjadi contoh kepada golongan muda untuk mengikut jejak langkahnya.

  “Saya juga berharap murid yang membaca berita berkenaan dapat mencetuskan idea inovasi seterusnya berfikiran lebih jauh ke hadapan,” katanya yang kini sedang menghasilkan skrip drama radio, novel kanak- kanak dan cerpen.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *