JKM Pahang sanjung penderma kepada mangsa banjir

JKM Pahang sanjung penderma kepada mangsa banjir

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Pic/video Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang memuji sokongan pelbagai pihak yang menghulurkan sumbangan bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

  Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, pihaknya berpuas hati apabila hampir setiap hari pelbagai bentuk sumbangan diterima oleh JKM, Skuad Bencana Pahang (SBP) dan kerajaan negeri.

  Menurutnya, sejak bencana banjir besar berlaku bulan lalu hingga kini, tidak putus-putus bantuan diterima dalam bentuk makanan, peralatan, pakaian dan barangan.Turut disumbangkan aktiviti mencuci rumah dan premis yang ditenggelami banjir.

  Katanya, syarikat swasta, agensi kerajaan, pusat pengajian tinggi, pusat zakat negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan tampil memberi bantuan dan sumbangan dalam usaha meringankan beban mangsa banjir.

  “Kesudian mengeluarkan belanja yang banyak semata-mata untuk membantu mangsa banjir yang kerugian harta benda amat dihargai, malah ada di kalangan mereka datang sendiri ke depot JKM untuk menyerahkan barangan bantuan.

  “Barangan yang paling banyak diterima ialah beras. Antara penyumbangnya ialah Pusat Zakat Kedah dan Alliance Steel masing-masing memberi sebanyak 30 tan manakala 

Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sebanyak 10 tan,” katanya.

  Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan 25 unit dapur gas daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Pahang yang disampaikan oleh Pengarahnya  Nor Hafizah Md Nor di Depot JKM Pahang di Kampung Tiram, di sini.

  Zulkhairi berkata, pihaknya sentiasa menerima sumbangan  daripada pihak yang ingin menyumbangkannya kepada mangsa banjir dan barangan yang diterima akan diagihkan kepada mereka terbabit oleh JKM Daerah seluruh negeri.

  “Saya mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang begitu bermurah hati dan prihatin dengan nasib mangsa banjir. Tindakan mereka itu dapat membantu meringankan beban kerajaan,” katanya.

  Sementara itu, Nor Hafizah berkata, wang sumbangan kakitangan LPPKN Pahang dan penderma digunakan untuk membeli 25 unit dapur gas sebagai bantuan fasa pertama kepada mangsa banjir.

  “Fasa kedua bantuan akan diusahakan selepas ini dalam usaha meringankan beban mangsa banjir yang kehilangan banyak harta benda,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *