Dua kematian akibat COVID-19 dilaporkan di Pahang

Dua kematian akibat COVID-19 dilaporkan di Pahang

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Sebanyak dua kes kematian dilaporkan di Pahang disebabkan COVID-19 hari ini, menjadikan kes kematian terkumpul di negeri ini sebanyak 17 kes setakat ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) memaklumkan, kedua-dua kes membabitkan individu di Mukim Sabai, Bentong.

Menerusi laman Facebooknya, JKNP memberitahu, sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 78 kes baharu dicatatkan, menjadikan angka kumulatif di negeri ini sebanyak 3,245 kes.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 530 kes. Terdapat 122 kes sembuh harian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 2,698 kes.

“Daripada jumlah berkenaan seramai 68 teridiri daripada warganegara manakala selebihnya bukan warganegara,” katanya.

Menurut JKNP, terdapat dua kluster baharu dikesan iaitu Kluster Rantau Tanjung di Maran membabitkan empat kes dan Kluster Kampung Pulau Jawa, Pekan, juga empat kes.

“Kes indeks bagi Kluster Rantau Tanjung adalah kes nombor P2720 iaitu seorang warganegara Malaysia yang tinggal di Felda Jengka 20, Maran. Kes disahkan positif COVID-19 pada 26 Januari 2021 hasil saringan bergejala (demam, batuk dan  selesema).

“Sehingga 4 Februari 2021, seramai 21 individu dalam kluster ini sudah disaring. Sebanyak 14 kes dikesan positif COVID-19 dalam kalangan ahli keluarga dan rakan.

“Kluster Kampung Pulau Jawa pula juga dilaporkan pada hari ini di daerah Pekan. Kes indeks bagi kluster ini adalah kes nombor P2846, seorang warganegara Malaysia tinggal di Kampung Pulau Jawa, Pekan.

“Kes disahkan positif pada 27 Januari 2021 hasil saringan bergejala (demam, selesema dan batuk). Sehingga jam 12 tengah hari, 4 Februari, seramai 37 orang disaring dalam kluster ini dan daripada jumlah itu, sebanyak 16 kes dikesan positif COVID-19 membabitkan ahli keluarga,” katanya.

Kata JKNP lagi, sebanyak empat daerah iaitu Kuantan, Bentong, Temerloh dan Pekan dikategorikan zon merah; Maran, Raub dan Rompin (zon jingga) serta Bera, Lipis, Jerantut dan Cameron Highlands (zon kuning). 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *