Rezeki nelayan darat bertambah selepas banjir surut

Rezeki nelayan darat bertambah selepas banjir surut

Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad

MARAN: Setiap kali lepas banjir, rezeki nelayan darat Sungai Pahang di beberapa daerah di negeri ini akan bertambah apabila mereka mampu menangkap ikan dalam jumlah yang banyak.


Pelbagai spesies ikan sungai bernilai tinggi dan rendah seperti patin buah, kerai, temalian, tengalan, lampam sungai, kelah, gohok dan baung menjadi buruan golongan terbabit menggunakan jaring bersaiz besar dan kecil.
Menurut Muhammad Aufa Mohd Najmuddin, 26, yang menetap di Kampung Sekara, Chenor, dekat sini, aktiviti menangkap ikan sungai mula rancak ketika banjir awal bulan ini seterusnya menjadi lebih meriah selepas banjir surut hingga hari ini.
Menurutnya, hampir setiap hari dia turun ke Sungai Pahang untuk menangkap ikan dan aktiviti berkenaan turut disertai penduduk setempat yang menjadikannya sumber rezeki tambahan.
Katanya, untuk mendapatkan ikan bersaiz besar dan bernilai tinggi, dia menggunakan jaring bersaiz besar sepanjang 400 meter yang ditahan merentangi Sungai Pahang, selain10 bidang jaring bersaiz kecil turut digunakan.

Ikan munkus yang ditangkap menggunakan jaring di Sungai Pahang.


“Pendaparan hasil jualan ikan selepas banjir kali ini bertambah dua hingga tiga kali ganda berbanding hari biasa apabila ikan patin buah, kerai, gohok dan tengalan mendapat permintaan tinggi. Ia dijual pada harga RM70 hingga RM150 sekilogram.
“Sekali turun ke sungai saya mampu membawa pulang tujuh hingga lapan kilogram pelbagai spesies ikan bernilai tinggi dan kebiasaanya pembeli termasuk pemborong terlebih dahulu membuat tempahan,” katanya, di sini.
Beliau berkata, selepas banjir ikan munkus yang bergerak secara kumpulan akan keluar dari anak sungai dan menangkapnya menggunakan jaring bersaiz kecil pasti lumayan hasilnya.

Ikan patin yang ditangkap menggunakan jaring di Sungai Pahang.


Muhammad Aufa berkata, nelayan darat yang menetap dekat Sungai Pahang sentiasa menunggu air sungai surut selepas banjir bagi memburu pelbagai spesies ikan bernilai tinggi sebagai lubuk rezeki yang hanya muncul beberapa tahun sekali sahaja.
“Banjir besar sebelum ini berlaku pada 2007 dan 2014. Musibah banjir awal tahun 2021 seolah-olah memberi rezeki yang banyak kepada kami sebagai nelayan darat,” katanya yang bekerja sebagai tukang kebun di Kolej Vokasional (Pertanian) Chenor, di sini.
Rakanya, Zuliza Nordin, 33, berkata setiap tahun nelayan darat seolah-olah menunggu musim tengkujuh bagi memburu pelbagai spesies ikan sungai yang bernilai tinggi.
“Rezeki saya lepas banjir kali ini agak lumayan apabila setiap kali turun ke sungai banyak ikan terkena jaring, antara ikan yang ditangkap ialah patin buah, kerai dan gohok.
“Aktiviti memburu ikan di Sungai Pahang secara besar-besaran akan berlarutan sehingga bulan depan, apabila paras air sungai kembali normal,” katanya yang juga nelayan sepenuh masa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *