Roadcare bantu beban mangsa banjir

Roadcare bantu beban mangsa banjir

Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad

KUANTAN: Bantuan pasca banjir di daerah ini terus diterima mangsa bencana itu dan kali ini sumbangan daripada Roadcare (M) Sdn Bhd yang prihatin dengan kesusahan dihadapi.
Pengurus Wilayah Pahang Roadcare, Risyadi Irwan berkata, pihaknya terpanggil untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir selepas melihat kepayahan yang mereka alami selepas kehilangan banyak harta benda.
Menurutnya, bantuan pasca banjir yang diberikan diharap dapat meringankan beban yang ditanggung dan bencana banjir yang berlaku bulan lalu pastinya amat sukar diterima oleh mereka yang terbabit.

Timbalan Menteri Kewangan II, Shahar Abdullah (tiga dari kanan) menerima bantuan pasca banjir daripada Pengurus Wilayah Pahang Roadcare (M) Risyadi Irwan untuk mangsa banjir Parlimen Paya Besar.


“Kita menyediakan bantuan berupa barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, sardin, tepung, susu, gula, milo dan toto untuk diagihkan kepada 100 ketua isi rumah (KIR) yang terkesan berikutan bencana banjir di daerah ini.
“Bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban mereka. Makanan amat penting buat golongan terbabit selepas berhadapan musibah banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bantuan pasca banjir kepada Timbalan Menteri Kewangan II, Shahar Abdullah, di sini.
Beliau menambah, pada kejadian banjir bulan lalu ada juga kakitangan Roadcare di negeri ini menjadi mangsa dan bantuan segera di peringkat daerah diberikan kepada mereka dalam meringankan beban ditanggung.
Risyadi berkata, setiap kali selepas musim tengkujuh tanggungjawab pihaknya semakin bertambah dengan tugas membaiki kerosakan jalan yang bertambah memandangkan usaha memberi perkhidmatan terbaik sentiasa digalas pihaknya sepanjang masa.

Bantal antara barangan bantuan pasca banjir daripada Roadcare (M) Sdn Bhd.


Sementara itu, Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, bantuan pasca banjir yang disediakan Roadcare seharusnya menjadi contoh kepada pihak lain supaya mengikut langkah diambil.
“Syarikat swasta dan ahli perniagaan perlu tampil membantu mangsa banjir dalam usaha meringankan beban kerajaan, malah keprihatinan mereka adalah sesuatu yang dianggap bertuah buat negara.
“Kerajaan menyediakan peruntukan yang besar bagi membantu mangsa banjir seluruh negara dengan pelbagai barangan bantuan disalurkan kepada agensi berkaitan untuk diagihkan kepada mangsa banjir,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *