MB lulus peruntukan segera RM10,000 untuk calon SPM yang diasingkan di KUIPSAS

MB lulus peruntukan segera RM10,000 untuk calon SPM yang diasingkan di KUIPSAS

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Kerajaan Pahang meluluskan peruntukan serta-merta sebanyak RM10,000 bagi membolehkan seramai 19 pelajar yang ditempatkan di pusat kuarantin Kolej Universiti Islam Pahang Sulan Ahmad Shah (KUIPSAS), di sini, membeli barangan peribadi sepanjang berada di kolej berkenaan.

KUANTAN 05 FEBRUARI 2021. Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail di beri penerangan oleh Pegawai KKM pada lawatan penempatan sementara anak-anak pekerja Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang terkesan COVID-19 di asrama KUIPSAS sebagai persediaan menghadapi SPM 2020. FIKRAH PAHANG/MUZ

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua pelajar terbabit iaitu 12 lelaki dan tujuh perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada 22 Februari ini, ditempatkan di kolej berkenaan selepas ibu bapa mereka disahkan dijangkiti COVID-19.

“Kita tempatkan mereka di sini supaya anak-anak ini tidak terjejas menghadapi SPM pada 22 haribulan ini, jadi mereka boleh memberi tumpuan, lebih fokus untuk ambil peperiksaan dalam keadaan stabil dan tenang.

KUANTAN 05 FEBRUARI 2021. Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail melawat dewan peperiksaan SPM 2020 untuk anak-anak pekerja Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang terkesan COVID-19 di KUIPSAS. FIKRAH PAHANG/MUZ

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan serta-merta sebanyak RM10,000 tidak termasuk peruntukan sedia ada untuk mereka membeli barangan peribadi, contohnya kertas, pensil, pen, sabun mandi, syampu dan sekiranya masih diperlukan (tidak mencukupi), kita akan tambah lagi peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di pusat kuarantin KUIPSAS, di sini, hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga menggalakkan mana-mana pelajar bakal mengambil SPM yang mempunyai ahli keluarga disahkan positif COVID-19 supaya datang dan tinggal sementara di pusat kuarantin berkenaan.

“Saya difahamkan, setiap pelajar diberikan satu bilik seorang manakala kapasiti pelajar yang boleh ditempatkan pula seramai 200 orang,” katanya.

“JKM (Jabatan Kebajikan Malaysia) pula akan memastikan semua keperluan terutama soal makan dan minum serta bilik (pengimapan),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *