MUIP agih makanan kepada gelandangan

MUIP agih makanan kepada gelandangan

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Setiap hari seramai 250 hingga 300 gelandangan yang terkesan berikutan wabak COVID-19 menerima makanan percuma yang diagihkan bermula 6.30 petang bertempat di dua lokasi utama di bandar ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman mengagihkan makanan percuma kepada gelandangan di Jalan Datuk Wong Ah Jang. Setiap hari antara 250 hingga 300 gelandangan diberi makanan percuma.

  Makanan dengan menu yang berlainan setiap hari disediakan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bagi meringankan beban golongan terbabit yang tertekan dengan keadaan semasa.

  Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, pihaknya menyediakan peruntukan RM20,000 bagi menyediakan makanan percuma kepada gelandangan terbabit.

Antara gelandangan di Jalan Datuk Wong Ah Jang yang menerima makanan percuma disediakan MUIP. Setiap hari antara 250 hingga 300 gelandangan diberi makanan percuma.

  Menurutnya, setiap hari agihan dilakukan membabitkan dua lokasi iaitu Jalan Datuk Wong Ah Jang dan Jalan Pasar Besar yang menempatkan ramai gelandangan kaum Melayu, Cina dan India yang terbabit dengan pelbagai aktiviti.

Sukarelawan Dapur Infaq Ummah yang diketuai Badrul Jamili Kamaruddin (kiri) bertanggungjawab  menyediakan makanan percuma kepada gelandangan yang dianjurkan MUIP. Setiap hari antara 250 hingga 300 gelandangan diberi makanan percuma.

  Katanya, hidangan makanan disediakan sepenuhnya oleh Dapur Infaq Ummah yang diketuai penggeraknya,

Badrul Jamili Kamaruddin, yang berpengalaman luas dalam aktiviti penyediaan masakan untuk gelandangan dan golongan asnaf sebelum ini.

  “Ini bukan kali pertama MUIP menyediakan makanan percuma kepada gelandangan dan golongan asnaf di daerah ini, malah projek prihatin berkenaan sebelum ini pernah dilakukan MUIP Cawangan Kuantan.

Dr Asmadi (empat dari kanan) menyantuni seorang kanak-kanak gelandangan di Jalan Dato Wong Ah Jang.

  “Berikutan wabak COVID-19 yang terus berlarutan, MUIP sekali lagi mengadakan program bantuan makanan percuma kepada golongan gelandangan yang begitu terkesan,” katanya yang turun padang menyampaikan makanan kepada gelandangan, di sini semalam.

  Beliau menambah, makanan percuma disediakan bukan sahaja untuk gelandangan tetapi turut diberikan kepada golongan mak nyah yang ada di kalangan mereka hilang sumber pendapatan kerana dibuang kerja.

  Dr Asmadi berkata, semua pihak boleh mengambil makanan disediakan tanpa mengira kaum dan agama. Projek berkenaan antara kaedah dakwah yang berkesan dalam keadaan negara berhadapan wabak COVID-19.

  “Saya berharap program makanan percuma untuk gelandangan anjuran MUIP ini dapat menarik minat pihak lain untuk tampil memberi sumbangan selain menaja hidangan yang akan disediakan untuk golongan memerlukan.

  “Ahli perniagaan, syarikat swasta dan orang perseorangan boleh tampil membantu mereka yang memerlukan,” katanya yang terharu melihat ramai gelandangan di bandar ini.

  Sementara itu, Badrul Jamili berkata, pihaknya menyediakan nasi putih bersama lauk yang berbeza setiap hari termasuk air mineral. Contohnya, semalam disediakan laut ayam goreng dan acar timun.

  “Rata-rata gelandangan berpuas hati diberi makanan percuma, mereka bersyukur dan terima kasih kepada MUIP,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *