11 guru bimbing murid Orang Asli PdPR di 13 kampung pedalaman

11 guru bimbing murid Orang Asli PdPR di 13 kampung pedalaman

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Pic/video Mohd Imran Izzad 

PEKAN: Demi tugas mendorong 15 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Mambang, dekat sini, menjelajah ke 13 Kampung Orang Asli di pedalaman dengan perjalanan paling jauh 15 kilometer setiap minggu bagi menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).


Guru Orang Asli Aida Bakar terbabit dengan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi murid Orang Asli di Kampung Tasik Mentiga.

  Melalui jalan dalam hutan yang sempit, berlumpur dan dinaiki air turut menguji keberanian terutama guru wanita yang sebelum ini tidak pernah sampai di kawasan pedalaman itu.

Guru SK Mambang,
Ahmad Farnizan Mohamad mengajar proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi murid Orang Asli di Kampung Tasik Mentiga.

  Guru Besar SK Mambang, Zafran Zainuddin berkata, bagi memastikan murid tidak terus ketinggalan dalam pelajaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) guru perlu berkorban untuk menjelajah ke setiap kampung walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

  Katanya, kini ada seramai 126 murid Orang Asli menetap di 13 kampung dan 127 murid Melayu berada di 10 kampung tradisional yang memerlukan bimbingan secara berterusan terutama selepas kerajaan menanguhkan sementara sesi persekolahan.

Guru Besar SK Mambang, Zafran Zainuddin menyerahkan kertas kerja latihan kepada batin Jo Ah Henj untuk diedarkan kepada murid Orang Asli bagi proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di Kampung Tasik Mentiga.

  “Setiap minggu guru akan bergilir ke setiap kampung Orang Asli untuk mengajar selain menghantar kertas kerja latihan murid termasuk menyerahkan buku teks untuk mereka membuat ulang kaji sebelum berpeluang ke sekolah.

  “Guru terpaksa berkorban membantu murid Orang Asli sepanjang PKP ini kerana kebanyakan mereka tidak memiliki kemudahan komputer riba dan telefon bimbit, dan kedudukan kampung yang jauh di pedalaman turut menyebabkan capaian internet terlalu lemah,” katanya.

  Beliau berkata demikian selepas memantau proses PdPR di Kampung Orang Asli Tasik Mentiga, di sini. Lima guru terbabit mengajar murid di dalam pondok yang disediakan penduduk kampung.

  Zafran menambah, SK Mambang dianggap bertuah kerana memiliki dua guru Orang Asli, Nur Adilla Tan Abdullah dan Aida Bakar yang banyak membantu melancarkan proses PdPR dengan murid Orang Asli di 13 kampung masyarakat berkenaan.

PEKAN…Guru Orang Asli, Nur Adilla Tan Abdullah terbabit dengan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi murid Orang Asli di Kampung Tasik Mentiga

  Bagi Nur Adilla, 51, banyak cabaran yang terpaksa dihadapi setiap kali berkunjung ke kampung Orang Asli untuk mengajar murid namun demi tugas dan tanggungjawab, semuanya tetap diharungi.

  “Dikejar anjing antara cabaran setiap kali berkunjung ke Kampung Orang Asli. Saya terpaksa meminta bantuan penduduk setempat untuk menghalau haiwan belaan mereka.

  “Disebabkan laluan licin, rakan saya pernah terjatuh dalam paya ketika meniti jambatan dan kami juga terpaksa melalui perjalanan sehingga 15 kilometer untuk sampai di kampung paling hujung sekali,” katanya yang berpengalaman selama 24 tahun sebagai guru.

  Menurutnya, setiap kali berkunjung ke kampung Orang Asli untuk mengajar ada ketikanya murid tidak keluar rumah menyebabkan guru terpaksa memujuk dan menyediakan makanan sebagai upah bagi menarik minat mereka. Kerjasama keluarga murid serta batin dapat membantu usaha guru untuk mengajar.

  Beliau yang mengajar mata pelajaran bahasa Melayu dan Sains berkata, keikhlasan yang menebal untuk memberi pendidikan kepada murid Orang Asli menjadi senjata utama guru SK Mambang  bertugas sepanjang PKP ini.

 Rakanya, Ahmad Farnizan Mohamad, 41, berkata, walaupun penat menunggang motosikal untuk sampai ke kampung Orang Asli yang jauh di pedalaman namun perasaan  puas dan seronok terpancar apabila dapat bertemu murid walaupun jumlah mereka tidak ramai.

  “Selain mengajar secara bersemuka, pihak sekolah ada menyediakan kertas kerja latihan untuk disiapkan murid dan sebagai guru saya ingin melihat murid Orang Asli berjaya dalam pelajaran. PKP bukan halangan yang menyebabkan murid terus ketinggalan dalam pelajaran,” katanya yang sebelum ini bertugas di Sarawak.

  Tambahnya, beliau tidak berasa suatu bebanan yang terlalu berat serta menyusahkan sepanjang proses PdPR yang memerlukannya berkunjung ke kampung Orang Asli yang jauh di dalam hutan semata-mata untuk menunaikan amanah yang diberikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *