Kreativiti guru SK Kampung Acheh mengajar PdPR guna robot pintar

Kreativiti guru SK Kampung Acheh mengajar PdPR guna robot pintar

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Pic/video Mohd Imran Izzad 

PEKAN: Lima unit robot pintar yang dibangunkan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Acheh, di sini, digunakan bagi menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, bulan lalu.

  Robot yang dihasilkan menggunakan komponen Lego dan meraih beberapa kejayaan pada pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan, memiliki kemampuan menulis, mewarna, melukis dan bertutur.

  Guru Besar SK Kampung Acheh, Salmiah Abdul Manan berkata, penggunaan robot ketika mengajar bukan sahaja dapat menghiburkan murid tetapi lebih penting menghasilkan satu bentuk pendidikan dianggap istimewa yang tidak ada di sekolah lain.

  Menurutnya, murid prasekolah dan tahun satu begitu teruja setiap kali dapat belajar dengan bertemankan robot pintar, malah kemahiran yang ada pada guru menambahkan lagi minat murid untuk belajar setiap kali sesi PdPR diadakan di rumah mereka.

  Katanya, guru yang ditugaskan untuk menjalankan aktiviti PdPR di 10 rumah penduduk di Kampung Acheh akan membawa robot termasuk komputer riba menggunakan perisian pendidikan yang disediakan Kementerian Pendidikan.

  “Saya melihat minat murid prasekolah dan tahun satu untuk belajar bertambah dua hingga tiga kali ganda apabila dapat belajar bersama robot dan murid boleh menerima dengan mudah apabila robot mengajar mereka.

  “Selain boleh menulis huruf A hingga Z, robot berharga RM3,000 seunit itu turut boleh mewarna, melukis, bertutur serta bergerak mengikut apa yang diprogramkan,” katanya, ditemui di sini, semalam.

  Beliau menambah, sebelum ini pihak sekolah turut menggunakan modul PdPR yang diserahkan oleh guru kepada semua 81 murid daripada 35 keluarga dan penjaga akan menghantar ke sekolah kertas latihan selepas murid menyiapkan latihan diberikan.

  Salmiah menambah, SK Kampung Acheh merupakan Sekolah Kluster Kecemerlangan dan pihaknya menerima peruntukan Kementerian Pendidikan sebanyak RM100,000 setahun untuk pembangunan program permainan catur, robotik dan inovasi. Banyak pencapaian membanggakan diraih di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa sejak 2016.

  “Saya bertuah mempunyai barisan 11 guru yang begitu komited dengan tugas PdPR. Mereka turun padang setiap minggu tanpa sebarang masalah dalam mengalas tanggungjawab serta amanah yang diberikan,” katanya.

  Bagi guru, Mazni Mohamed@Ibrahim, kemahiran yang ada menjadi kelebihan kepadanya menggunakan robot pintar untuk aktiviti PdPR dan murid ternyata terhibur belajar bersama robot yang diprogramkan untuk mengajar.

  Menurutnya, aktiviti mengajar murid di rumah mengambil masa satu hingga dua jam dan kebiasaanya murid tidak akan puas belajar sambil bermain dengan robot pintar yang mampu bertutur mengikut apa yang diprogramkan.

  “Saya bangunkan lima unit robot yang kami miliki sejak 2016. Sambil bermain murid prasekolah dan tahun satu turut dapat belajar membaca, mengira, mewarna dan menulis.

  “Bagi murid tahun dua hingga enam kita menggunakan modul  khas yang disediakan selain belajar secara dalam talian,” katanya yang mengajar mata pelajaran Sains. 

  Beliau yang juga Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran berkata, untuk memastikan murid tidak tercicir dalam pelajaran sepanjang PKP kali ini aktiviti mengajar tetap perlu dilakukan secara berterusan walaupun terpaksa setiap minggu berkunjung ke rumah murid.

  Mazni berkata, kebanyakan murid kampung terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah tidak memiliki komputer dan telefon bimbit untuk belajar secara dalam talian, malah hanya sebahagian kecil sahaja mempunyai kemudahan itu.

  Rakannya, Azizah Abdul Aziz yang mengajar mata pelajaran bahasa Melayu berkata, pelaksanaan PdPR adalah satu cabaran kepada guru, namun demi amanah ia dilakukan tanpa rasa bebanan.

  “Bersama murid yang tidak mandi serta tidak berminat untuk belajar antara cabaran dihadapi guru sepanjang menjayakan PdPR,” katanya yang juga GPK Hal Ehwal Murid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *