PKGK berjaya tangkap enam gajah dalam Hutan Simpan Tekam

PKGK berjaya tangkap enam gajah dalam Hutan Simpan Tekam

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

JERANTUT: Enam ekor gajah berumur antara lapan hingga 30 tahun yang sebelum ini berkeliaran dalam ladang kelapa sawit di Kampung Doja, dekat sini, ditangkap dalam operasi pintas yang dilakukan sejak minggu lalu.

Operasi memindahkan seekor gajah liar dilakukan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah di Kampung Doja, Jerantut.

 Selepas menjejak kumpulan haiwan terbabit akhirnya kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Temerloh berjaya memintas enam gajah terbabit dalam kawasan Hutan Simpan Tekam, dekat sini.

  Ketua PKGK Kuala Gandah, Muhammad Khairul Adha Mat Amin berkata, tangkapan terbanyak dibuat tahun ini dilakukan bagi memastikan episod haiwan terbabit memusnahkan pokok kelapa sawit selain kebun penduduk tidak terus berulang.

  Katanya, seramai 25 kakitangan PKGK Kuala Gandah dibantu anggota Unit Tangkapan Gajah, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, menyertai operasi terbabit dengan dibantu tiga gajah denak iaitu Abot, Rambai dan Alam.

Operasi memindahkan seekor gajah liar dilakukan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah di Kampung Doja, Jerantut.

  “Ada 10 hingga 15 gajah daripada kumpulan gajah terbabit yang sebelum ini berkeliaran dalam kawasan ladang kelapa sawit dan kebun penduduk setempat yang terletak berhampiran dengan Hutan Simpan Tekam, sejak beberapa bulan lalu.

  “Kawasan keliaran kumpulan gajah terbabit yang semakin sempit menjadi faktor utama haiwan liar terutama gajah mula menceroboh ladang termasuk penempatan yang terletak berhampiran hutan,” katanya.

  Beliau menambah, enam ekor gajah yang tangkap dianggarkan berat badan dua hingga tiga tan, berumur lapan hingga 30 tahun. Gajah terbabit akan dipindahkan secara berperingkat dalam masa lima hari.

   Muhammad Khairul Adha berkata, operasi pindah bermula semalam apabila dua ekor haiwan terbabit dipindahkan dan dilepaskan ke Kompleks Taman Negara, di sini.

  Tambahnya, operasi semalam bermula 9 pagi dan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk memindahkan dua gajah berkenaan menggunakan laluan dalam ladang kelapa sawit.

  “Kita akan terus memantau baki kumpulan gajah terbabit bagi memastikan ia tidak kembali ke kawasan ladang kelapa sawit dan kebun penduduk Kampung Doja dan beberapa kampung berhampiran.

  “Kerjasama penduduk amat diperlukan untuk memberi maklumat sekiranya kumpulan haiwan terbabit berada di kawasan kampung mereka,” katanya yang mengingatkan masyarakat setempat supaya tidak cuba menghampiri kumpulan gajah terbabit bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *