Awas! 75 lokasi dalam pemantauan SOP polis Kuantan

Awas! 75 lokasi dalam pemantauan SOP polis Kuantan

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan mengerahkan 15 kenderaan peronda bagi melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di seluruh daerah ini dari semasa ke semasa.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya sudah mengenal pasti 75 lokasi untuk diberi perhatian dan pemantauan.

“Kita akan melakukan rondaan secara berterusan di 75 lokasi terpilih berkenaan.

“Selain itu, seramai 24 pegawai dan 40 anggota terbabit dalam operasi yang memberi tumpuan kepada aspek pematuhan SOP di premis perniagaan dan bank, selain pemeriksaan di kedai makan berikutan keputusan kerajaan membenarkan pelanggan menjamu selera bermula hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Op Bersepadu Perdana Sempena Tahun Baharu Cina di sekitar bandar Kuantan, hari ini.

Mengulas sambutan Tahun Baharu Cina Jumaat ini, beliau berkata, orang ramai terutama masyarakat Cina perlu mematuhi SOP ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

“Meskipun kelonggaran diberikan untuk upacara makan besar, ia bukan bermakna mereka tidak perlu mengikuti saranan pihak berkuasa.

“Jumlah ahli keluarga dibenarkan menghadiri majlis makan besar juga sudah ditetapkan iaitu tidak lebih 15 orang dan tidak membabitkan ahli keluarga yang menetap lebih 10 kilometer dari lokasi majlis diadakan,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang turut bercuti pada musim perayaan ini turut diingatkan supaya tidak berkumpul beramai-ramai di kawasan perkelahan atau kawasan rekreasi contohnya air terjun atau pantai.

“Kami di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kuantan sedia mengambil tindakan tegas dan mengeluarkan saman atau kompaun kepada sesiapa sahaja yang didapati gagal mematuhi SOP,” katanya.

Dalam perkembangan berbeza, beliau berkata, jumlah permohonan merentas daerah dan negeri diterima IPD adalah sebanyak 42,600 permohonan.

“Daripada jumlah ini, kita terpaksa tolak sebanyak 2,600 kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan,” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *