Kejayaan Nur Athirah boleh dijadikan ‘blueprint’ bagi melahirkan anak Pahang cemerlang: MB

Kejayaan Nur Athirah boleh dijadikan ‘blueprint’ bagi melahirkan anak Pahang cemerlang: MB

Kejayaan Nur Athirah boleh dijadikan ‘blueprint’ pendidikan anak Pahang: MB

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersyukur dan berbangga dengan kejayaan anak Pahang, Nur Athirah Mohamad Zaini, 19, yang dinobatkan sebagai pelajar kedua terbaik dunia dalam peperiksaan Certified Accounting Technician (CAT), baru-baru ini.

Menteri Besar berkata, kejayaan anak kelahiran Balok, di sini, boleh dijadikan ‘blueprint’ untuk melahirkan pelajar anak Pahang yang cemerlang dalam pelajar pada masa depan.

“Kerajaan Pahang juga sentiasa memberi perhatian kepada pelajar berpotensi untuk memastikan mereka dapat meneruskan pelajaran dan impian ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Yayasan Pahang kepada Nur Athirah di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini, sambil disaksikan kedua-dua ibu bapa pelajar berkenaan, Mohamad Zaini Ismail, 59, dan Noorhaslinda Mat Ali, 49.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Mahmud Mohd Nawawi.

Penuntut berusia 19 tahun itu, mengharumkan nama negara selepas menduduki tangga kedua dunia dalam peperiksaan Certified Accounting Technician (CAT), Disember tahun lalu.

Sementara itu. Nur Athirah berkata dia membawa kopi atau gula-gula sebagai amalan untuk menghilangkan mengantuk ketika dalam kelas.

Katanya, dia juga banyak melakukan latihan melihat semula kesilapan ketika belajar, supaya tidak mengulanginya.

“Kalau mengantuk, kena tahu apa cara nak buat untuk hilangkan mengantuk, mungkin bawa kopi atau gula-gula pergi kelas.

“Keduanya, selalu lakukan latihan dan tengok semula kesilapan sebelum ini supaya tak ulang kesilapan lalu dan paling penting, jaga hubungan dengan Allah, ibu bapa, guru, pensyarah dan orang di sekeliling kita,” katanya 

Mengulas lanjut, Nur Athirah yang juga penuntut INTEC Education College di Shah Alam, Selangor, berkata, pelajar dan penuntut tidak seharusnya menjadikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19 sebagai alasan untuk tidak belajar bersungguh-sungguh. 

Malah, katanya ketika tempoh PKP, golongan pelajar dan penuntut lebih mudah belajar berikutan banyak masa di rumah. 

“Ramai kata ketika PKP susah nak belajar, tapi bagi saya ia bergantung kepada apa kita fikirkan. Masa pun lagi banyak bila kita berada di rumah, jadi perlu gunakan dengan baik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *