Perkhidmatan kaunter agensi kerajaan dibuka semula esok

Perkhidmatan kaunter agensi kerajaan dibuka semula esok

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Semua perkhidmatan kaunter bagi jabatan dan agensi Kerajaan Pahang dan Persekutuan yang ditutup sejak 2 Februari lalu, dibuka semula mulai esok.

Keputusan diambil Kerajaan Pahang itu bagaimanapun masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, orang ramai boleh memilih untuk datang sendiri di mana-mana pejabat atau membuat temu janji bagi mendapatkan tarikh dan masa sesuai untuk berurusan.

“Orang ramai atau pelanggan antara lain wajib melepasi saringan suhu kurang 37.5 darjah selsius, wajib mendaftarkan diri menggunakan aplikasi MySejahtera, perlu membersihkan tangan menggunakan pensanitasi tangan sebelum dan selepas berurusan di kaunter serta membuat bayaran atau melakukan urusan di kaunter, seterusnya beredar meninggalkan kaunter atau pejabat sebaik selesai segala urusan.

“Pelanggan juga tidak dibenarkan hadir sekiranya menunjukkan sebarang gejala jangkitan COVID-19 dan sentiasa mematuhi kewajipan penjarakan fizikal satu meter (m). Pelanggan warga emas boleh hadir bersama pengiring bukan dalam kalangan warga emas untuk membantu dalam urusan di kaunter (warga emas tidak digalakkan ke kaunter sebaliknya teman/pengiring yang membantunya),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, jabatan atau agensi pula perlu memastikan petugas kaunter sentiasa memakai sarung tangan, pelitup muka dan pelindung muka pada sepanjang masa.

“Jabatan atau agensi terbabit hendaklah menyediakan pensanitasi tangan di setiap kaunter dan pelitup muka bagi pelanggan yang tiada pelitup muka, perlu memastikan kaunter mempunyai tirai kaca untuk mengelakkan jarak fizikal rapat dengan pelanggan dan perlu memastikan hanya seorang pelanggan dibenarkan berurusan di setiap kaunter pada satu-satu masa.

“Agensi ini juga perlu memastikan petugas dan pelanggan sentiasa mematuhi kewajipan penjarakan fizikal 1m sepanjang masa, manakala pengoperasian kaunter bermula 8 pagi sehingga 8 malam dengan tiga syif bertugas di kaunter dan sebelum bermula setiap penggiliran, perlu melaksanakan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit,” katanya.

Beliau menambah, agensi terbabit perlu memastikan tempoh bertugas setiap petugas kaunter selama empat jam di kaunter dan enam jam sehari di pejabat.

“Agensi atau jabatan terbabit berhak tidak melayan mana-mana pelanggan yang tidak mematuhi SOP yang dinyatakan. SOP ini terpakai kepada semua agensi Kerajaan Pahang dan kita menggalakkan supaya agensi Kerajaan Persekutuan mengguna pakai SOP serupa.

“Diharapkan dengan pembukaan semula perkhidmatan kaunter ini dan pematuhan kepada SOP yang ditetapkan, dapat memudahkan kembali orang ramai berurusan dengan agensi Kerajaan berkenaan sambil memastikan keberkesanan usaha mengekang penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *