Suntikan vaksin COVID-19 di Pahang bermula akhir Februari

Suntikan vaksin COVID-19 di Pahang bermula akhir Februari

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Seramai 28,000 barisan hadapan di negeri ini akan menerima suntikan vaksin COVID-19 mulai akhir bulan ini.

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu diputuskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, semalam.

Beliau berkata fasa pertama program suntikan vaksin COVID-19 itu akan membabitkan anggota dan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Task Force COVID Negeri.

“Fasa kedua pula membabitkan lebih 360,000 orang dalam kalangan mereka berisiko tinggi, antaranya warga emas berusia 60 tahun dan ke atas dan golongan berpenyakit kronik atau ‘comorbid’, yang mana suntikan vaksin akan bermula April ini.

“Di bawah fasa ketiga yang meliputi lebih 700,000 individu 18 tahun dan ke atas pula, suntikan vaksin akan bermula Mei ini hinggalah Februari 2022,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, seluruh rakyat Pahang berjumlah kira-kira 1.12 juta atau sasaran 70 peratus daripada keseluruhan 1.67 juta penduduk bakal menerima suntikan vaksin sebagai usaha membendung penularan pandemik COVID-19.

“Sebanyak 69 pusat suntikan sedang dikaji kesesuaiannya di seluruh negeri, antara lain membabitkan hospital, klinik kesihatan, dewan dan bangunan agensi tertentu. Jumlah pemberi suntikan atau vaksinator ialah 578 orang.

“Sukacita saya sarankan kepada semua pihak supaya dapat memberi kerjasama sepenuhnya dengan mendapatkan vaksinasi COVID-19 ini menurut tatacara ditetapkan demi memastikan program vaksinasi di negeri ini dapat berjalan lancar dan berkesan, insya-Allah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *