Sindiket curi balak di Hutan Simpan Jengka tumpas

Sindiket curi balak di Hutan Simpan Jengka tumpas

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Pic Mohd Imran Izzad 

TEMERLOH: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh berjaya mematahkan cubaan memindahkan 48 tual balak spesies keruin, meranti dan balau bernilai lebih RM387,000

Kakitangan Pejabat Renjer Hutan Jempol memeriksa tunggul balak jenis balau yang ditebang secara haram di Hutan Simpan Jengka.

yang ditebang secara haram di Kompatmen 19 Hutan Simpan Jengka, di sini, kelmarin.

  Pegawai PHD Temerloh dan Bera, Azmi Abdul Rahman berkata, hasil risikan yang diketuai Pengawas Hutan Mazrul Safpuan Mat Remli bersama tujuh anggota 

Pejabat Renjer Hutan Jempol, di sini, menemui kawasan yang dipercayai baharu diceroboh bagi mencuri balak spesies berkualiti tinggi  yang didalangi beberapa individu berpengalaman.

  Menurutnya, pemeriksaan dilakukan menemui sebuah jengkaut yang digunakan untuk membuat jalan tarik, menyusun dan mangangkat balak yang ditebang. Turut ditemui tiga motosikal milik ahli sindiket  terbabit.

  Katanya, balak yang ditebang dikumpul di beberapa tempat dalam kawasan terbabit sebelum aktiviti memindahkan dilakukan menggunakan lori balak pada waktu subuh bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Sebahagian daripada 48 tual balak spesies keruin yang ditebang secara haram di Hutan Simpan Jengka.

  “Siasatan mendapati sindiket yang dianggotai lima hingga tujuh individu tempatan itu mula menceroboh Hutan Simpan Jengka sejak dua hari lalu. Mereka memulakan kerja menebang balak pada waktu petang hingga pagi. Semua aktiviti dilakukan secara terancang supaya dapat berjalan dengan lancar.

  “Sindiket terbabit hanya memilih spesies balak yang berkualiti tinggi sahaja, antaranya keruing, meranti dan balau,” katanya, di sini.

  Beliau menambah, pemeriksaan dalam kawasan Kompatmen 19 itu menemui sebanyak 65 tunggul pokok pelbagai spesies yang ditebang sindiket terbabit, dengan setiap pokok dipotong antara dua hingga tiga tual.

  Azmi berkata, sindiket itu dikesan menggunakan pemberi maklumat atau tonto untuk mengesan kehadiran anggota penguat kuasa dan faktor berkenaan membolehkan mereka segera meninggalkan kawasan ceroboh sebelum lokasi berkenaan diserbu.

  Katanya, Hutan Simpan Jengka menjadi tumpuan pencuri balak berikutan terdapat banyak balak spesies berkualiti tinggi, di samping kedudukan kawasan berkenaan yang jauh daripada penempatan sekali gus dapat mengelak kegiatan haram mereka itu dikesan.

  Menurutnya, sindiket terbabit dianggap profesional apabila turut menggunakan jentera berat bagi melancarkan aktiviti mereka dan setiap individu dipercayai memiliki lebih daripada satu kemahiran, sebagai contoh selain menebang balak dia turut boleh memandu jengkaut.

  “Kita kini berusaha mengesan rangkaian sindiket terbabit sebelum memberkas pihak yang tidak bertanggungjawap itu. Kesalahan yang dilakukan amat besar kerana ia bukan sahaja merugikan kerajaan negeri malah turut merosakan hutan.

  “Balak yang disita akan segera dilelong selepas kes berkenaan selesai, manakala jentera dan tiga motosikal kini disimpan di pusat simpanan barangan kes Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di Pejabat Ladang Hutan Kemasul, di sini.

  “Saya merayu pihak yang mengetahui kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini untuk apa juga tujuan supaya segera menghubungi pihaknya dan mereka yang berada dalam hutan simpan tanpa permit boleh didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *