MB arah baik pulih segera tanah runtuh di Taman Wira, Pedah, Jerantut

MB arah baik pulih segera tanah runtuh di Taman Wira, Pedah, Jerantut

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar ihsan JK Pengurusan Bencana Daerah Jerantut.

KUANTAN: Susulan kejadian tanah runtuh di Taman Wira, Pedah, Jerantut awal pagi Khamis lalu, Kerajaan Pahang mengarahkan supaya kerja-kerja baik pulih dilaksanakan segera.

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja-kerja pembaikian itu meliputi pembinaan susunan struktur ‘gabion’ (sangkar batu) seperti dicadangkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Jerantut.

“Setakat ini, runtuhan berkenaan tidak menjejaskan rumah di taman perumahan terbabit.

“Bagaimanapun, pemindahan penduduk akan dilakukan sekiranya keadaan semakin berisiko terutama membabitkan soal keselamatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut, kejadian kira-kira 1 pagi Khamis itu susulan hujan lebat berterusan melebihi tiga jam menyebabkan aliran air anak Sungai Nahar yang laju, seterusnya meruntuhkan tebing konkrit sedia ada.

Berikutan itu, papan tanda dan kon keselamatan dipasang di sekitar kawasan yang terjejas, manakala kakitangan JPS dan Majlis Daerah Jerantut (MDJ) mengadakan pemantauan secara berkala.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *