‘Food Bank’ Masjid Abu Bakar, Tanah Rata, untuk penganut semua agama

‘Food Bank’ Masjid Abu Bakar, Tanah Rata, untuk penganut semua agama

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

CAMERON HIGHLANDS: Menyedari individu atau keluarga yang terkesan kehilangan sumber pendapatan akibat penularan wabak COVID-19, pengurusan Masjid Abu Bakar, Tanah Rata di sini menyediakan barang keperluan secara percuma.

  Inisiatif menyediakan bekalan yang dinamakan ‘Food Bank’ itu untuk memastikan orang ramai tanpa mengira kaum tidak terputus bekalan makanan dalam menjalani kehidupan seharian.

  Imam Masjid Abu Bakar, Ahamad Al Hapis Burhanudin berkata, sejak dibuka pada November tahun lalu, pihaknya gembira kerana dapat membantu meringankan beban di kalangan golongan yang terkesan terutama mereka yang kehilangan punca pendapatan.

  “Kami berbesar hati kerana mereka yang terkesan datang ke masjid untuk mendapatkan barang keperluan tidak hanya mereka yang beragama Islam sahaja.

  “Tujuan utama penyediaan `Food Bank’ ini adalah untuk membantu orang ramai yang terkesan di sekitar Cameron Highlands dan sambutan menggalakkan itu selepas kami menggandakan hebahan awal tahun ini,” katanya.

  Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya berbangga dan berterima kasih di atas sumbangan daripada orang ramai bukan sahaja wang tunai, malah barang keperluan yang dihantar terus ke masjid.

  Katanya, tiada had yang dikenakan kepada mereka yang ingin mendapatkan barang keperluan itu.

  “Pengambilan bekalan makanan ini juga dibuka 24 jam atau pada bila-bila sahaja.

  “Setakat ini, sambutan amat menggalakkan kerana kami turut menghebahkannya di masjid terutama selepas solat Jumaat.

  “Oleh itu, kami mengalu-alukan mereka yang memerlukan untuk mengambilnya dan tidak perlu segan kerana sumbangan ini tidak mengira bangsa dan bukan warganegara juga layak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *