Semua 506 calon SPM dari SMA jalani ujian COVID-19

Semua 506 calon SPM dari SMA jalani ujian COVID-19

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Seramai 506 pelajar sekolah agama di negeri 

yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diwajibkan menjalani proses mengambil sampel ujian calitan COVID-19.

  Proses ujian dilakukan secara berperingkat bermula kelmarin dibiayai sepenuhnya oleh 

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) membabitkan peruntukan RM50,000.

  Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, ujian calitan perlu dilakukan pada semua pelajar sebelum mereka dibenarkan menginap di asrama sekolah sebagai persiapan menduduki peperiksaan SPM bermula 22 Februari ini.

   Menurutnya, semua pelajar terbabit belajar di 13 Sekolah Menengah Agama (SMA) kerajaan negeri dan sekolah agama selian MUIP. Mereka dibenarkan tinggal di asrama bermula semalam sebagai persediaan menduduki peperiksaan SPM.

  Katanya, ujian calitan perlu dilakukan bagi memastikan semua pelajar bebas daripada COVID-19 seterusnya berpeluang mengambil peperiksaan SPM dalam keadaan selamat dan selesa.

  “Semua pelajar yang menjalani ujian sesi pertama bermula kelmarin bebas daripada wabak COVID-19 dan mereka dibenarkan tinggal di asrama sehingga selesai peperiksaan SPM dan ujian berkenaan dilakukan secara terperingkat.

  “Guru dan warden asrama ditugaskan untuk mengawasi pergerakan pelajar sepanjang mereka berada di asrama dan pihak sekolah tidak akan membenarkan pelawat berada dalam kawasan sekolah bagi mengelak sebarang kemungkinan,” katanya.

  Beliau menambah, proses ujian calitan dilakukan pihak hospital daerah dan 13 SMA terletak di daerah Temerloh, Bentong, Jerantut, Lipis dan Raub.

  Dr Asmadi berkata, ibu bapa pelajar tidak perlu bimbang keadaan anak mereka yang tinggal di asrama memandangkan semua langkah pencegahan dan keselamatan sentiasa diberi perhatian bagi memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini.

  “Saya mendoakan semoga semua pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM pada 22 Februari nanti dapat menjawab soalan dengan mudah seterusnya mendapat keputusan yang memuaskan.

Baki masa yang ada perlu digunakan sebaik mungkin untuk membuat ulang kaji,” katanya.

  Dalam perkembangan sama Dr Asmadi berkata, penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kini melakukan pemantauan di semua pusat pengajian tahfiz, madrasah dan pondok yang beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

  Katanya, tindakan tegas akan dikenakan supaya tidak berlaku penularan pandemik COVID-19 di pusat pendidikan Islam di negeri ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *