MUIP serah 55 van jenazah kepada masjid di Pahang

MUIP serah 55 van jenazah kepada masjid di Pahang

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

PEKAN: Sebanyak 55 van jenazah bernilai RM7 juta telah diserahkan kepada masjid di seluruh negeri Pahang dalam tempoh 10 tahun sejak 2010.

  Ini ditegaskan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman yang menyatakan penyediaan van bagi memudahkan pengurusan jenazah adalah tanggungjawab pihaknya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman (kiri) melihat van jenazah pada majlis penyerahan kenderaan itu kepada Masjid Kampung Pulai Serai, Pekan.

  Menurutnya, setiap daerah kecuali Cameron Highlands layak menerima empat kenderaan berkenaan secara berperingkat selepas permohonan mereka diluluskan.

  Menurutnya, selain masjid daerah, van jenazah juga diberikan kepada masjid yang mempunyai jumlah jemaah yang ramai dalam satu kawasan selain pengurusan pentadbiran yang cekap dan berjaya.

  “MUIP hanya bertanggungjawap memberi kemudahan berkenaan dan bagi menguruskan termasuk penyelenggaraan van terbabit ia dilakukan sepenuhnya oleh pihak masjid.

  “Bantuan yang diberikan diharap dapat melancarkan lagi pengurusan jenazah untuk dihantar ke tanah perkuburan selain mengambil jenazah di hospital dan menghantar jenazah ke kampung asal mereka atas permintaan ahli keluarga.

  “Setiap tahun MUIP berusaha memenuhi permintaan jawatankuasa masjid yang memohon bantuan kemudahan van jenazah,” katanya pada majlis penyerahan van jenazah kepada Masjid Kampung Pulau Serai, di sini.

  Hadir sama, Pengurus MUIP Cawangan Daerah Pekan, Muhammad Hafidz Abdul Halim dan Pengerusi Masjid Kampung Pulau Serai, Ishak Idris.

  Beliau berkata, pihaknya meluluskan permohonan van jenazah kepada Masjid Pulau Serai selepas mereka membuat permohonan melalui MUIP Cawangan Pekan tahun lalu.

  Dr Asmadi berkata, MUIP sentiasa berusaha memenuhi permintaan jawatankuasa masjid di negeri ini dalam memastikan masyarakat setempat sentiasa dalam keadaan selesa dan usaha menaik taraf serta membaiki kerosakan masjid dan surau turut diberi keutamaan.

  Katanya, jemaah surau dan masjid perlu selesa untuk beribadah, justeru masyarakat setempat tidak ada alasan lagi untuk tidak menunaikan solat secara berjemaah seterusnya mengikuti kuliah agama yang diadakan di masjid.

  “Saya berharap jawatankuasa masjid dan surau dapat memperbanyakkan lagi aktiviti dalam usaha menarik minat jemaah, setiap malam perlu diadakan kuliah agama oleh penceramah bertauliah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *