Kumpul 8,000 naskhah al-Quran, surah Yasin dalam tempoh 10 hari

Kumpul 8,000 naskhah al-Quran, surah Yasin dalam tempoh 10 hari

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Bagi meringankan beban pengurusan masjid dan surau yang terkesan akibat banjir pada Januari lalu, Kelab Jembara Al-Falah mengambil inisiatif mengumpul al-Quran dan surah Yasin untuk menggantikan naskhah yang rosak kesan daripada bencana itu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato Dr Zulkifle Ali (kanan) membantu mengangkat naskhah al-Quran dan surah Yasin di  Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Kuantan.

  Hasilnya, dalam tempoh 10 hari, sebanyak 8,000 naskhah al-Quran dan surah Yasin berjaya dikumpul melalui sumbangan orang ramai, termasuk ahli jemaah Masjid Al-Falah Sungai Isap Dua dan Masjid Al-Mubarak Sungai Isap Jaya, di sini.

  Pengerusi kelab itu, Abdul Rahim Othman berkata, inisiatif mengumpul al-Quran dan surah Yasin tercetus melalui aktiviti turun padang dilaksanakan kelab itu ketika membersih masjid dan surau yang dilanda banjir.

   Ketika pembersihan, beliau berasa sebak apabila melihat banyak al-Quran yang rosak dan diselaputi lumpur.

  “Dengan 8,000 naskhah yang dikumpul ini, ia dapat menggantikan al-Quran dan surah Yasin yang rosak,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan di di Maahad Tahfiz Negeri Pahang, di sini hari ini.

  Majlis penyerahan itu disampaikan Abdul Rahim kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato Dr Zulkifle Ali.

  Sementara itu, Dr Zulkifle berkata, pihaknya berterima kasih kepada Kelab Jembara Al-Falah dan orang ramai yang prihatin dengan menghulurkan sumbangan al-Quran dan surah Yasin.

  “Insya-Allah, kita akan mengagihkan sumbangan ini ke semua masjid dan surau dalam tempoh terdekat ini.

  “Semoga usaha murni ini dapat membantu masyarakat terutama masjid dan surau yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir pada Januari lalu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *